Makhluk asing didakwa menghantar dron untuk mengintip manusia di Bumi. -Daily Star |
WASHINGTON – Seorang profesor Universiti Harvard di Massachusetts mendakwa bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) mungkin merupakan alat kepintaran buatan (AI) daripada peradaban makhluk asing yang mengintip Bumi, lapor akhbar Daily Star semalam.
Profesor Avi Loeb yang merupakan pakar astrofizik Universiti Harvard telah melancarkan misi baharu bagi mencari jawapan adakah manusia bersendirian di alam semesta.
Loeb terkenal pada 2018 selepas beliau mendakwa bahawa objek angkasa Oumuamua yang terbang melintasi Bumi mungkin merupakan serpihan angkasa milik makhluk asing.
“Ia mungkin merupakan sesuatu yang berasal dari luar Bumi. Kebanyakan bintang terhasil sebelum matahari iaitu berbilion-bilion tahun lalu.
“Bayangkan satu peradaban yang mendahului kita satu bilion tahun,” katanya.
Tambah Loeb, sudah cukup masanya untuk makhluk asing menghantar kapal angkasa dengan kecerdasan buatan ke dunia yang bersifat autonomi.
Prof. Avi Loeb – AFP via Getty Images |
“Anda hanya memerlukan satu peradaban dan itu sudah cukup untuk mengisi seluruh galaksi dengan replikasi sendiri yang dilengkapi teknologi AI,” katanya.
Kenyataan Loeb muncul selepas laporan UFO daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menolak untuk menafikan kewujudan makhluk asing.
Pentagon berkata UFO yang dikesan oleh Tentera Laut AS tidak boleh dijelaskan dan Loeb menyifatkan penemuan tersebut adalah penemuan kecil daripada sesuatu yang lebih besar.
Pakar itu menuduh jawatankuasa saintifik sebagai ‘mengelak’ daripada masalah tersebut serta menyembunyikannya daripada masyarakat dunia sejak lebih 60 tahun lalu. -Agensi