KUALA LUMPUR: Kumpulan pakar akan mengemukakan beberapa syor mengenai dos ketiga atau booster shot vaksin COVID-19 pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) minggu depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan 6(PICK), Khairy Jamaluddin, berkata perbincangan akan turut melibatkan cadangan pemberian vaksin yang berlainan.
"Kita akan ada kemas kini berkenaan kajian booster shot pada mesyuarat JKJAV pada minggu depan.
"Saya difahamkan, kumpulan pakar akan membuat beberapa syor berkenaan dengan booster shot atau dos ketiga dan ini juga ada kaitan dengan pemberian vaksin yang berbeza-beza," katanya semasa sidang media melalui aplikasi Zoom.
Pada 26 Jun lalu, Khairy berkata, kerajaan sedang mengkaji keberkesanan vaksin terhadap kes COVID-19 yang melibatkan varian Delta dan keperluan untuk suntikan ketiga vaksin.
BACA: Varian Delta: Malaysia kaji keperluan suntikan ketiga vaksin - Khairy Jelasnya lagi, perbincangan itu juga selaras dengan tindakan negara-negara lain yang sedang mempertimbangkan untuk memberikan suntikan ketiga kepada penerima vaksin.
"Negara lain belum buat keputusan, cuma ada satu, atau dua negara yang telah memberi gambaran bahawa mereka akan memberi dos ketiga.
"Contohnya di UAE dan beberapa negara Timur Tengah, mereka disyorkan untuk Pfizer kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin, " ujarnya.
Tags