Petugas Keletihan mungkin punca suntik Vaksin kosong - KKM

Kickbola.net KKM tidak menolak kemungkinan dakwaan tiga kes individu disuntik picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berpunca daripada keletihan dihadapi petugas dan sukarelawan yang juga disifatkan barisan hadapan.



SUNGAI SIPUT: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan dakwaan tiga kes individu disuntik picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berpunca daripada keletihan dihadapi petugas dan sukarelawan yang juga disifatkan barisan hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata justeru semua petugas disarankan supaya memaklumkan keadaan diri masing-masing sekiranya mengalami kepenatan dan berasa perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum menyambung semula tugas.

"Kita lakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, tetapi apabila sudah letih kita perlu beritahu supaya dapat 'direhatkan'. Jika teruskan juga tugasan dalam keadaan letih, maka berlakulah hasil kerja yang tidak produktif atau terbaik.

"Dalam isu ini ia membabitkan nyawa orang lain, jadi kita perlu bercakap dan berkongsi mengenai masalah yang dihadapi, jangan diam saja sebaliknya minta untuk direhatkan jika letih.

"Benar, sememangnya kita juga 'stress' (tertekan) berkaitan masalah sumber manusia, namun KKM sentiasa berfikir dan dinamik umpamanya akan 'mobilize' (menggerakkan) petugas dari tempat (PPV) kurang sibuk ke PPV yang sibuk," katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke PPV Awam Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori dan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, belum ada keperluan untuk KKM melakukan PPV secara hadir terus atau 'walk in' khusus kepada golongan dewasa yang belum mendapat janji temu vaksinasi di negeri lain sepertimana yang dilakukan di Selangor dan Kuala Lumpur bermula 1 Ogos ini.

"Ini kerana, tindakan kerajaan dalam pemberian vaksin adalah bersifat dinamik iaitu berdasarkan kepada keperluan mendesak berikutan angka tinggi yang dicatatkan untuk kes positif COVID-19 di kedua-dua negeri terbabit," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.