KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan bagi membenarkan individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 merentas negeri untuk bertemu dengan pasangan dan keluarga mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau mendapati ramai yang menyuarakan keluhan termasuk pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang terpisah dengan anak-anak mereka berikutan larangan rentas negeri yang masih berkuat kuasa.
"Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.
"Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama, terutama jika ibu bapa itu sudah pun menerima 2 dos vaksin.
"Justeru, saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima 2 dos vaksin.
"Insya-Allah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula," kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri memaklumkan, kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang melengkapkan suntikan imunisasi COVID-19 akan dibuat bersandarkan beberapa faktor.
Katanya, ia merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan.
"Sebarang keputusan dimuktamadkan Jawatankuasa Teknikal MKN berhubung perkara itu akan dibuat secara menyeluruh bagi mengelak risiko penularan jangkitan pada masa depan," katanya.