Kabin antivirus didakwa mampu bunuh Covid-19

Kabin ini dilengkapi dengan kemudahan yang dapat menampung keperluan pesakit yang sedang menjalani kuarantin kendiri. - Detikcom/Yudha Maulana



JAKARTA – Seorang lelaki dari Bandung menghasilkan sebuah kabin antivirus yang berfungsi sebagai pensteril udara serta didakwa mampu membunuh pelbagai jenis virus termasuk Covid-19 dan varian Delta, lapor rangkaian televisyen iNews hari ini.

Menurut lelaki tersebut, Simon Sajaya, kabin yang dinamakan sebagai Kabin Pesakit Delta itu turut dilengkapi dengan kemudahan yang dapat menampung keperluan pesakit yang menjalani kuarantin kendiri.

“Kabin ini dicipta khas untuk pesakit yang sedang menjalani kuarantin kendiri.

“Apabila pesakit duduk di dalamnya, mereka akan cepat sembuh kerana udara di dalam ruang itu telah disteril daripada pelbagai jenis virus termasuk koronavirus dan varian Delta,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan Detik.com, pesakit Covid-19 yang diletakkan di dalam kabin tersebut akan menghirup udara yang telah dibersihkan menggunakan teknologi penapisan Udara Zarah Berkecekapan Tinggi (HEPA).

“Di dalamnya, terdapat pembersih udara antivirus yang menyedut udara di dalam kabin, lalu udara itu akan terkena sinaran ultra ungu.

“Ini seterusnya akan membunuh virus di dalam kabin tersebut, sekali gus menjadikan udara bersih kerana sudah disteril,” jelasnya.

Sebelum ini, Simon pernah mencipta alat penapis udara anticovid dan baju vitamin D yang didakwa mampu memperkuatkan daya imunisasi badan.

Penapis udara tersebut berfungsi dengan menggunakan sinaran ultra ungu dan didakwa dapat membersihkan dua hingga 10 meter padu udara dalam masa seminit.

Ia boleh diletakkan di dalam bilik kuarantin pesakit Covid-19 untuk menapis udara dan membunuh bakteria serta virus sehingga bersih. – AGENSI

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.