Gempa 8.2 magnitud di luar Semenanjung Alaska, Amaran Tsunami dikeluarkan

Gempa bumi berkekuatan 8.2 magnitud pada kedalaman cetek menggegarkan luar semenanjung Alaska malam tadi. - Foto EPA



WASHINGTON: Gempa bumi berkekuatan 8.2 magnitud pada kedalaman cetek menggegarkan luar semenanjung Alaska malam tadi, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) hingga mendorong amaran tsunami dikeluarkan.

Katanya, gempa bumi yang terletak 91 kilometer di tenggara bandar Perryville, disusuli dengan amaran tsunami yang dikhuatiri berlaku di selatan dan Semenanjung Alaska.

Sehubungan itu, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami untuk tenggara Alaska.

"Gelombang tsunami yang berbahaya akibat gempa bumi ini dijangka berlaku sehingga tiga jam yang membabitkan beberapa persisiran pantai," kata Sistem Amaran Tsunami AS dalam satu kenyataan.

Perryville adalah sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 500 batu dari Anchorage, bandar terbesar Alaska.


Gempa bumi berkekuatan 8.2 magnitud pada kedalaman cetek menggegarkan luar semenanjung Alaska. - Foto AFP
Gempa berkekuatan 7.5 magnitud mengakibatkan gelombang tsunami di pantai selatan Alaska pada Oktober tahun lalu, namun tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa.


Alaska adalah sebahagian negara yang terletak di lingkaran api pasifik yang aktif secara seismik.


Alaska pernah dilanda gempa berkekuatan 9.2 magnitud pada Mac 1964, yang paling kuat pernah tercatat di Amerika Utara.

Ia memusnahkan bandar Anchorage dan mengakibatkan tsunami yang meranapkan Teluk Alaska, pantai barat AS dan Hawaii.


Lebih daripada 250 orang terbunuh akibat gempa dan tsunami terbabit. - AFP

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.