27 Kawasan di Sabah Dikenakan PKPD Mulai Khamis Ini – Hishammuddin

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein



KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 27 lokaliti di Sabah bermula 29 Julai-11 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu diambil selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti terbabit.

Beliau berkata daripada jumlah itu, terdapat 27 lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD membabitkan 11 di Kota Kinabalu, Sabah iaitu Bandar Sierra, Kampung Unggun, Kampung Kalasanan, Lorong Cina 1, 2 & 3, Kampung Tebobon, Plaza Kingfisher, Polytechnic Commercial Centre, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.

“Selain itu, 8 Lokaliti di Penampang, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Country Height Fasa 1, Cyber City Fasa 1, Kampung Nabangkung, Kampung Ramayah, Taman Vista Kiranau, Kampung Sarapung Kolopis, Vista Minitod dan Kampung Tuunon.


“4 lokaliti lagi di Beaufort, Sabah ialah Kampung Lumadan, Kampung Kebulu Petani, Kampung Beaufort Selatan dan Taman Arjuna,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.


Hishammuddin berkata turut dikenakan PKPD di Sabah ialah tiga lokaliti di Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Tanjung Batu Darat dan Kampung Darat Inderasabah manakala satu lokaliti lagi di Kinabatangan iaitu Perumahan Ladang Tinabau.

Beliau berkata PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga di Sandakan serta Kampung Telaga dan Kampung Pituru di Pitas, Sabah; FELDA Jengka 8 di Jerantut, Pahang dan Kampung Jagoi Duyoh di Bau, Kuching, Sarawak ditamatkan esok seperti dijadualkan manakala PKPD di Taman Samudera, Mukim Batu di Gombak, Selangor pula ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Julai.


Hishammuddini juga berkata 60 premis meliputi 12 kilang, 40 premis perniagaan dan lapan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Semalam juga, 438 individu dikompaun dan 27 individu lagi direman,” katanya sambil menambah 14 pendatang tanpa izin turut ditahan manakala empat kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng. – BERNAMA


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.