Lokasi kejadian kanak-kanak dicampak dari tingkat 4 di Danau Kota, Setapak
S eorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut akibat dicampak dari tingkat empat sebuah apartment di Danau Kota, Setapak pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, dicampak selepas lelaki itu seorang warga Nigeria berusia 42 tahun, cuba merogol anak tirinya yang juga ibu kepada Muhammad Adam, dalam kejadian sekitar 7.40 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8 pagi.
Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek, warga Nigeria cuba merogol seorang daripada anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu, namun dihalang oleh isteri dan anak-anak yang lain.
Anak tiri mangsa berusia 19 tahun hingga 29 tahun cuba menghalang tindakannya menyebabkan suspek yang mula berang, mengamuk dan memukul serta menghentak kesemua mangsa yang ada dalam rumah berkenaan.
Beliau berkata suspek mula bertindak di luar kawalan selepas melihat anak-anak tirinya menjerit dan meminta tolong orang ramai sebelum mengangkat Muhammad Adam menuju ke tingkap luar bilik utama dan mencampaknya ke bawah.
Suspek juga kemudian turut melompat keluar melalui tingkat sama namun terjatuh.
Tambahnya, suspek yang cedera tidak dapat melarikan diri dan ditangkap oleh pengawal keselamatan dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
Suspek dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan.