Kes COVID-19 aktif berjaya diturunkan dari hampir 2,600 pesakit ke 651

Namun, 651 pesakit masih satu jumlah yang besar dan risiko gelombang baru masih ada.
651 pesakit Covid-19 sedang dirawat, 333 dibenar discaj

Kes Covid-19 yang masih aktif berjaya diturunkan dari hampir 2,600 pesakit pada kemuncaknya ke 651 kes semalam. Syabas Malaysia!

Angka pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital akibat dijangkiti koronavirus (Covid-19) menyusut kepada 651 kes selepas 333 telah pulih dan dibenar discaj hari ini.



Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada 333 yang pulih, 307 kes melibatkan warga asing dan 26 kes dalam kalangan warganegara.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 7,733 kes bersamaan dengan 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11 kes baharu hari ini.

"Daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, satu merupakan kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 kes penularan di dalam negara melibatkan enam kes warga asing manakala empat rakyat tempatan.

"Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara di kalangan rakyat tempatan ialah melibatkan satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Putrajaya dan pesakit kemudian dipindah ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

"Tiga kes dikesan di Sarawak iaitu kontak rapat kepada kes positif ke-8453.

"Mereka adalah ahli keluarga kepada kes ke-8453," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak empat kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Tambahnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes bersamaan dengan 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya..

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.