8 jangkitan terbaru COVID-19, 986 kes masih dirawat

Buat pertama kali, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah di bawah 1,000 iaitu 986 kes.
8 jangkitan terbaru Covid-19, 986 kes masih dirawat

Satu korban baru berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban 121 orang.

Dalam perkembangan sama, 8 kes jangkitan baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 8,453 orang sehingga kini.

“Dimaklumkan daripada 8 kes baru yang dilaporkan, 2 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 6 kes penularan dalam negara, 4 kes merupakan bukan warganegara, manakala 2 kes adalah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kesemua 4 kes jangkitan dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara daripada kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Ketika ini, seramai 986 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah itu, 4 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi. Tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, 35 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 7,346 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, perincian 2 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan warganegara Malaysia adalah seperti berikut:

    Satu (1) kes saringan klinikal Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak.
    Satu (1) kes saringan di pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah, Melaka.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-121 adalah lelaki warganegara India yang merupakan orang kena tahan (OKT) di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Katanya, lelaki itu berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau didapati tidak sedarkan diri di DTI Bukit Jalil dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


“Beliau disahkan meninggal dunia pada 12 Jun. Saringan Covid-19 didapati positif dan keputusan penuh bedah siasat masih dalam proses,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.