Sesak pekerja asing punca PELAKSANAAN Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD)
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion dilakukan kerana atas faktor kesesakan.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah kepadatan sesebuah unit rumah dua blok kediaman terbabit dihuni antara 20 hingga 30 pekerja warga asing dari Bangladesh, India dan Pakistan.KAKITANGAN KKM memasuki Malayan Mansion bagi melakukan saringan.
Beliau berkata, pihaknya akan menyelaraskan pelaksanaan PKPD di dua flat berkenaan selaras dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Berdasarkan arahan KKM, sesebuah lokasi harus dikategorikan sebagai Zon Merah apabila mencatatkan jumlah 40 kes positif Covid-19 dan pada masa ini, jumlah di dua flat itu sudah merekodkan 15 kes positif dan belum lagi termasuk dengan jumlah di Plaza One City yang tidak jauh dari sini dan kalau dicampur keseluruhannya hampir 40 kes.
“Justeru, selepas pelaksanaan PKPD dikuatkuasakan di kawasan ini, maka kami perlu mengatur gerak menerusi Jawatankuasa Keselamatan Kementerian Wilayah untuk menyelaraskan segala perkara berkaitan PKPD di sini,” katanya selepas meninjau flat Selangor Mansion, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, menerusi mesyuarat sama, kementeriannya akan memutuskan sama ada untuk melakukan proses pemindahan ke pusat kuarantin berasingan memandangkan jumlah kepadatannya membabitkan lebih 6,000 penduduk.
“Kita akan meneliti segala maklumat dan sebarang cadangan daripada KKM sama ada proses saringan boleh dilakukan di sini atau perlu dilakukan di satu lokasi lain yang lebih teratur.
“Faktor lain turut diambil kira adalah sekiranya kita dapati jumlah positif Covid-19 mencatat peningkatan ketara,” katanya.
Menurutnya, isu penting di kawasan Masjid India adalah bagi mengekang penyebaran dan penularan wabak Covid-19 terhadap orang ramai, petugas KKM serta pasukan keselamatan polis dan tentera yang mengawasi kawasan sekitar.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date