Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menggesa kerajaan supaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam satu kenyataan, AMM berkata, pergerakan dari negeri ke negeri akan meningkat apabila masyarakat pulang ke kampung secara beramai-ramai untuk sambutan perayaan sekali gus memburukkan lagi penyebaran wabak COVID-19."Apabila ramai yang balik kampung, ia akan memberi risiko penyebaran virus terutamanya kepada orang tua.
"Penjarakan sosial di hentian serta kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya juga berisiko untuk gagal," katanya dalam satu kenyataan.
Memetik kenyataan itu lagi, pihaknya memahami keinginan masyarakat untuk meluangkan masa bersama sanak-saudara sempena hari raya, namun dalam mendepani wabak ini, penjarakan sosial perlu terus dilakukan sehinggalah vaksin baharu ditemui.
“Disebabkan pandemik COVID-19, penjarakan sosial perlu menjadi norma baharu sekurang-kurangnya untuk satu tempoh waktu sehingga keadaan menjadi terkawal.
“Untuk tahun ini, sekurang-kurangnya perlu ada kawalan, pemantauan atau mungkin haramkan perhimpunan sama ada perhimpunan Ramadan, Aidilfitri atau Haji,” katanya.
Tambah AMM lagi, penarikan balik PKP atau penguatkuasaan yang terlalu longgar akan mensia-siakan kebaikan yang telah dicapai dalam tempoh empat minggu PKP dilaksanakan.
“Perang melawan COVID-19 masih jauh lagi, banyak pengorbanan yang telah dan akan terus dilakukan dalam tahun ini,” katanya.
Akademi itu turut yang mengingatkan hal sama terhadap Pesta Kaamatan pada 30 Mei di Sabah dan Hari Gawai yang akan disambut pada 1 Jun di Sarawak.