Penyebaran COVID-19 di Simpang Renggam semuanya bermula di majlis kenduri kahwin, tahlil

COVID-19: Semuanya bermula di majlis kenduri kahwin, tahlil
Penyebaran COVID-19 di Simpang Renggam semuanya bermula di majlis kenduri kahwin, tahlil

“Semuanya bermula daripada majlis kenduri kahwin dan tahlil pada 15 Mac di Bandar Baru Ibrahim Majid,” kata penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid, Roslizam Mostajab, 45, ketika menceritakan detik permulaan merebaknya wabak COVID 19 di perkampungan berkenaan.

Menurut Roslizam, bermula dengan hanya dua orang dikesan positif wabak maut itu, kini ia menular sehingga menyebabkan enam kampung dengan kira-kira 3,570 penduduk terpaksa diarahkan berkurung di kediaman masing-masing bermula tengah malam tadi melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).


Sekatan jalan raya dan kawalan serta pemeriksaan polis yang mengawal kawasan Kampung dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor malam tadi. - Foto Adnan Ibrahim
Katanya, walaupun Kampung Ibrahim Majid terletak kira-kira 1.5 kilometer daripada Bandar Baru Ibrahim Majid, namun ia adalah laluan utama ke beberapa kampung rangkaian lain yang berdekatan selain jalan pintas ke Pekan Simpang Renggam.

“Keadaan ini menyebabkan kadar penyebaran wabak COVID 19 ini berlaku terlalu pantas dan sehingga hari ini sebanyak 61 kes positif COVID 19 daripada 83 kes yang dilaporkan di Kluang.

 

“Dijangka jumlah ini akan meningkat dalam sehari dua jika usaha memutuskan rangkaian penyebaran wabak COVID 19 tidak dilakukan dengan lebih gigih dan sabar,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Roslizam dalam pada itu menyeru semua penduduk kampung yang terbabit dalam PKPD ini memberikan kerjasama sebaik-baiknya kerana apa yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada kecuaian mereka dalam menangani wabak ini.

“Bagaimana pun, apa yang kami bimbang sekarang ini adalah soal bekalan makanan asas kerana tindakan mengejut arahan PKPD menyebabkan sebahagian besar penduduk tidak membuat sebarang persediaan termasuk melakukan simpanan keperluan secukupnya.


“Kami amat berharap pihak kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk membantu penduduk yang terjejas kerana tempoh PKPD selama 14 ini bukanlah satu masa yang singkat untuk diharungi oleh orang kampung yang kini tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap,” katanya.


Selain Kampung Datuk Ibrahim Majid yang mempunyai kira-kira 1,495 penduduk, turut terjejas adalah Kampung Parit Salman membabitkan 180 penghuni, Parit Kasmani (20), Parit Takibek (120), Lorong Perdana (180), Taman Surau (95) dan Jalan Benut (150).


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.