Penyanyi era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan, 73, meninggal dunia di Hospital Ampang, pada jam 12.40 malam tadi, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung.
PENYANYI terkenal era pop yeh yeh, Datuk A Rahman Hassan meninggal dunia pada usia 73 tahun, di Hospital Ampang, jam 12.40 malam tadi.Ia disahkan anak sulungnya, Khir Rahman.
Rahman yang popular pada era 1960-an bersama Orkes Nirwana menerusi lagu Tak Mengapa, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang.
Kejadian yang berlaku pada jam 10 malam Isnin lalu itu menyaksikan A Rahman diselamatkan serta dihantar ke hospital menaiki ambulans.
Khir memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga.
Katanya, jenazah bapanya akan dimandikan di hospital dan akan dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat.
Jenazah ayahnya kemudian akan dikebumikan selepas Zohor di tanah perkuburan yang turut menempatkan jenazah isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad yang meninggal dunia pada 26 April 2013.
Genap seminggu dibenarkan keluar hospital, penyanyi popular era 1960-an, Datuk A Rahman Hassan, 73, dikejarkan semula ke hospital selepas tidak sedarkan diri, kira-kira jam 10 malam tadi.
Isterinya, Datin Fadilah Mansor berkata, suaminya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang berikutan masalah jangkitan kuman pada paru-paru, selain lemah jantung.
Katanya, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang daripada menziarahi kakak Allahyarham Datin Azizah Mohamad di Kepong, dekat sini sebelum singgah di sebuah stesen minyak.
“Kami pergi berhari raya dengan tiga kereta, malah dia memandu sendiri pada malam itu. Kebiasaannya, saya atau anak yang memandu.
“Dalam perjalanan pulang, kami berhenti di stesen minyak kerana dia mahu membeli roti. Mujur ketika itu, ada pembantu peribadi yang menemaninya.
“Saya yang menunggu di kereta terkejut selepas seorang petugas di premis itu memaklumkan suami pitam. Saya menggigil disebabkan terkejut kerana sebelum itu, keadaannya baik-baik sahaja,” katanya.
A Rahman kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans. Dia yang belum sedarkan diri masih dalam pemantauan pakar perubatan.
Terdahulu, pada 1 Jun lalu, A Rahman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3.30 pagi akibat masalah jantung.
Dia bagaimanapun, menafikan mengalami serangan jantung, sebaliknya memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan.
Vokalis kumpulan Orkes Nirwana itu dibenarkan keluar dari HKL sehari sebelum 1 Syawal dan meraikan hari raya di kampungnya di Larkin, Johor.
Kata Fadilah lagi, doktor sudah melakukan beberapa ujian dan mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru suaminya.
Sementara itu, anak sulung penyanyi itu, Khir Rahman meminta orang ramai supaya mendoakan kesihatan ayahnya dalam satu perkongsian menerusi laman sosial.