Kenali mantan Perdana Menteri dari hati ke hati....Najib Razak ❤️❤️❤️
Jurugambar bukanlah kerjaya saya. Ianya lebih kepada hobi. Akan tetapi apabila DS Najib ditohmah, diberi berbagai gelaran buruk oleh pengikut PH, saya mula berhasrat mencari jawapan kepada persoalan siapakah DS Najib yang sebenarnya. Saya perlu dekat dengannya dan mendengar sendiri darinya. Saya tidak mahu dibayangi dengan persepsi satu pihak sahaja. Itu prinsip saya. Bukan prinsip saya untuk menyokong atau menerima satu-satu pandangan secara membabi buta.Saya mahu memerhatikan setiap bahasa tubuh (body language - non verbal communication), postures (riak badan) dan gestures (gerak tangan dan wajah) DSN sendiri. Kerana itu saya memberanikan diri bertindak sebagai jurugambar dan juruvideo, kerana ianya boleh dijadikan ‘lesen’ untuk saya memerhatikannya pada jarak dekat.
Di beberapa majlis yang dihadiri DS Najib, saya menawarkan diri sebagai official photographer dan videographer.
Saya pernah menghadiri kursus interpretasi gerak badan atau bahasa tubuh seseorang. Sepanjang lebih 20 tahun pengalaman berkerjaya di institusi kewangan, bahasa tubuh ‘clients’ tidak pernah diketepikan dalam membuat sesuatu keputusan malahan menjadi keutamaan. Jadi, saya bukan saja berpeluang mendengar terus dari DSN malahan berpeluang membaca kebenaran kata2 melalui bahasa tubuhnya. Gerak badan tidak pernah menipu. Mungkin kerana itu juga ketika disoal jawab di alam barzah, anggota badanlah yang akan menjawab, bukan mulut. Dalam hal ini juga perlu ada pemahaman atau ketajaman deria ke enam (sixth sense).
Ini perkongsian saya dari salah satu majlis yang saya hadiri sebagai jurugambar.
Setelah BN tewas dalam PRU14, lebih sebulan DSN ‘menyendiri’. Kali pertama beliau hadir dikalayak ramai ialah apabila beliau diraikan di Majlis Sambutan Hari Raya Bersama DSN dan DSR. Majlis ini dikelolakan oleh sekumpulan rakan2 siber yang menyokong DSN.
Ketika tiba di majlis ini, DSN kelihatan sedikit terpinga kerana tidak menjangkakan ada suasana sambutan yang ‘hangat’ terhadapnya. Lebih 500 orang jemputan hadir untuk memberi semangat kepada DS Najib. Mereka berebut-rebut berjabat tangan, bergambar, melaungkan kata-kata semangat. Memang ketika itu DSN masih dalam situasi ‘down’ kerana sebelum itu rumahnya digeladah oleh pihak polis.
Saya mengamati setiap riaknya. Memang beliau langsung tidak menjangkakan bahawa beliau masih ada ramai penyokong yang bersimpati padanya. Memandangkan keadaan agak tidak terkawal kerana mereka yang hadir agak teruja, DSN dan DSR diasingkan sebentar di bilik VIP. Saya berkesempatan berada dan merekodkan suasana di dalam bilik itu. Ketika itu saya perhatikan DSN seperti dalam kejutan dan tergamam. Beberapa kali terkeluar dari mulutnya, “Unbelievable “, “This is money can’t buy”.
Tanyanya, “Who are these people?” Setelah mendapat penjelasan dari penganjur majlis itu, DSN berkata, “I can see the sincerity”.
Beberapa kali beliau tunduk dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Saya yakin apa yang bermain di fikirannya ialah ‘masih ada yang mahu bersama dan menyokongnya’. Datin Hasnah Abd Rahman yang mengetuai penganjuran majlis itu membalas, “Sebenarnya ramai lagi yang ingin menghadiri majlis ini, ribuan, tetapi terpaksa kami hadkan kerana ruang tidak mengizinkan”. Najib tergamam.
Ketika DS Rosmah datang duduk di sisinya, saya melihat DS Rosmah mengesat air mata yang mengalir di pipinya dan berkata pada suaminya, “Wow, so touching”. Sebak suaranya. DSN mengakuinya. Najib menghulurkan sapu tangan kepada Rosmah.
Setelah situasi di luar agak terkawal, DSN dan DSR diajak keluar untuk diraikan oleh para hadirin. Sudah pasti para jemputan tidak sabar mendengar ucapan ulung dari DSN setelah tersingkir dari menerajui kerajaan.
Berulangkali saya memutarkan video-video rakaman gerak geri, kata-kata serta ungkapan-ungkapannya. Ianya bertujuan untuk membaca akan sejauh manakah benarnya setiap bait-bait yang diucapkannya. Apakah ianya selari dengan gerak tubuhnya. Apakah selama ini beliau bercakap benar atau sebaliknya.
Dari pemerhatian saya, DS Najib adalah seorang genuine leader. Beliau pemimpin semulajadi. Dalam beberapa perkara, saya kagum dengannya. Mungkin kata-kata saya ini dianggap menyanjung atau mengampu.
Penilaian saya diringkaskan seperti berikut:
Saya melihat DSN ini seorang yang sangat positif dan professional ketika berkata-kata. Bahasa tubuhnya terjemahkan keikhlasan setiap bait yang keluar dari mulutnya.
Beliau juga adalah seorang pendengar yang baik. Beliau melayani dan mendengari setiap individu yang berbicara dengannya. Beliau sentiasa membenarkan seseorang itu habis berbicara, barulah kemudiannya beliau memberi respon. Dari renungan matanya, jelas sekali dapat saya terjemahkan riak simpati, pilu, kasih dan sayang.
Ada ketikanya bahasa tubuhnya mencerminkan semangat negarawan ulung, dengan genggaman tangan dan laungannya sahaja sudah cukup menyemarakan semangat mereka yang hadir. Namun demikian beliau telah beberapa kali ‘disejukkan’ oleh DS Rosmah.
Daya ingatannya juga tinggi. Beliau boleh mengingati kisah-kisah silam secara terperinci dan mengenali nama rakan-rakan di zaman kanak-kanak yang hadir di majlis itu. Beliau juga mampu mengingati angka-angka atau perangkaan dan fakta-fakta ekonomi dengan tajam.
Seorang yang sensitif dan mudah tersentuh terutama bila berbicara tentang penderitaan rakyat. Bila berbicara tentang keperitan rakyat, seringkali saya perhatikan beliau akan ‘pause’ dan tunduk. Jari-jemari mengenggam tanda empati.
Berjiwa halus. Mudah tersentuh dan menghargai pengorbanan rakyat. Wajahnya akan berubah apabila mendengar luahan dan keluhan hadirin. Beberapa kali saya melihatnya menelan air liur, meminta seteguk air dan menjamah secubit hidangan bagi menyembunyikan perasaan sedih dan simpati.
Satu lagi yang perlu anda tahu ialah DS Najib adalah seorang yang sukakan keceriaan. Jika boleh beliau mahu bergembira dan ceria bersama rakyat. Walaupun ketika itu beliau berada dalam situasi duka, beliau masih tidak mampu menolak permintaan penganjur dan hadirin yang mahukan beliau mendendangkan beberapa buah lagu.
Beliau tidak mengambil atau menilai sesuatu isu secara personal. Walaupun beliau ditaburi dengan kata-kata yang tidak menyenangkan, beliau tidak membalas dengan emosi, sebaliknya hujah-hujahnya berfakta.
Ada ketika saya perhatikan beliau termenung jauh. Dari kata-katanya saya dapat gambarkan bahawa beliau masih berhajat mahu membawa negara ini kearah transformasi yang sebagaimana beliau sering perkatakan.
Buat rakan-rakan yang masih menanam persepsi tidak baik terhadapnya setelah diracuni dengan berbagai prasangka buruk, andai berkesempatan, saya cadangkan agar hadiri dan dekati DS Najib. Kenali siapa dia yang sebenarnya.
Nilaikan sendiri, kelak saya pasti anda akan bersetuju dengan penilaian saya ini. - Raja Annuar Adnan