Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud mangkat


Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz mangkat

Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud mangkat, lapor stesen rasmi Arab Saudi sebentar tadi. Baginda berusia 90 tahun.

Raja Abdullah dilapor dimasukkan ke hospital kerana menghidap jangkitan pada paru-paru. Baginda menaiki takhta pada tahun 2005.

Majlis pengebumiannya dijadual akan diadakan hari ini di Masjid Turki Abdullah di Riyadh, dan beberapa pemimpin dunia dijangka hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

Raja Abdullah menjadi ketua kepada sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, menjadi rakan utama Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah.

Dalam kalangan negara konservatif itu, Raja Abdullah dilihat sebagai tokoh pembaharuan.

Sejak menduduki takhta itu, Raja Abdullah mengambil tindakan ke arah kebebasan yang lebih meluas dan melabur sebahagian daripada kekayaan minyak negaranya dalam projek pendidikan dan infrastruktur berskala besar.



Di bawah kepimpinan Raja Abdullah juga, negara itu turut membantu dalam usaha menghapuskan penyebaran fahaman militan termasuk Al-Qaeda, mengenepikan kumpulan pendakwah radikal selain turut mengambil peranan yang lebih penting dalam hal ehwal antarabangsa.

Tahun lalu, Arab Saudi turut menjadi negara di timur tengah utama yang bergabung bersama AS untuk mengekang keganasan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria.

Sementara itu, penganalisis meramalkan peralihan politik dijangka lancar ekoran kemangkatannya biarpun banyak cabaran dihadapi Arab Saudi kini termasuk perhubungannya dengan Iran, kebangkitan militan IS, krisis di Yaman serta kejatuhan harga minyak. - AFP/CNN

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.