Kuala Lumpur, 30 Dis - Pengumuman harga terbaru petrol di Malaysia sudah tentu menjadi antara perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
Pada 12 Disember lepas, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad ada menyatakan harga petrol RON97 dan Diesel akan sekali lagi diturunkan pada 1 Januari ini sekiranya harga minyak dunia terus menurun.
“Mengikut trend 10 hari dalam Disember ini, harga ketiga-tiga bahan bakar ini terus menurun.
“Namun kita akan buat pengiraan mengikut purata keseluruhan berapa banyak jumlah yang akan diturunkan, tetapi kita pasti ia akan menggembirakan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada 12 Disember lepas.
Hari ini, Ahmad Maslan telah memuat naik satu status di akaun Twitter miliknya yang menyatakan harga Ron95 dan Diesel dijangka akan diturunkan pada RM 1.95 - RM1.90 seliter mulai 1 Januari ini.
Selain dari membuat jangkaan itu, Ahmad Maslan juga turut meminta agar peniaga-peniaga menurunkan harga barang berikutan penurunan harga minyak yang bakal diumumkan nanti.
Pengumuman rasmi harga petrol dan diesel akan dikeluarkan pada 31 Disember ini (esok) oleh KPDNKK.
Harga terkini bagi RON95 adalah RM2.30 seliter manakala disel adalah RM2.20 seliter selepas kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi minyak baru-baru ini.