HRABOVE (Ukraine): Selepas empat bulan pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, video terbaharu menunjukkan saat awal pesawat yang sedang terbakar, terhempas menghampiri perkampungan dengan penduduk pada awalnya menyangkakan ia pesawat tentera negara itu.
Video amatur yang diperoleh agensi berita Associated Press (AP) yang diambil sendiri oleh penduduk di Hrabove, menunjukkan bagaimana penduduk bergegas ke bangkai pesawat yang sedang terbakar hanya beberapa meter jasa jaraknya dari rumah mereka pada tengah hari 17 Julai itu.Ketika punca tragedi MH17 masih menjadi bahan perbalahan antarabangsa, Ukraine dan kerajaan di barat mendakwa ia ditembak jatuh oleh puak pemisah yang pro-Russia manakala stesen televisyen Russia di Moscow sejak minggu lalu menayangkan apa yang mereka dakwa bukti baharu pesawat MH17 sebenarnya ditembak jet pejuang tentera udara Ukraine.
Jenazah dan bangkai pesawat bertaburan di kawasan seluas sehingga 20 kilometer persegi (8 batu persegi).
SEORANG anggota tentera pemisah Ukraine memerhati serpihan pesawat MH17 diangkat dengan kren di perkampungan Hrabove di wilayah Donetsk, timur Ukraine semalam. - Foto Reuters |
Semua sisa pesawat diletakkan di dalam gerabak kereta api sebelum dihantar di kawasan dikuasai kerajaan Ukraine di Bandar Kharkiv.
Dalam video yang diperoleh AP semalam, penduduk perkampungan Hrabove didengar bertanyakan nasib juruterbang berkenaan.
VIDEO terbaharu yang diambil oleh amatur menunjukkan detik awal pesawat Malaysia Airlines MH17 yang sedang terbakar, terhempas menghampiri perkampungan Hrabove, Ukraine, dengan penduduk pada awalnya menyangkakan ia pesawat tentera negara itu. - Foto AP
Ini kerana beberapa pesawat tentera Ukraine yang ditembak jatuh sebelum ini, juruterbang dan anak kapal yang terselamat biasanya akan dijadikan tawanan pemisah.
PEKERJA mula mengutip dan mengumpulkan bangkai pesawat di tapak nahas dengan penyeliaan penyiasat Belanda dan pegawai dari Pertubuhan Keselamatan dan Koordinasi di Eropah. - Foto AFP |
Seseorang didengari berkata: "Dan di mana pula juruterbangnya?"
Seorang lagi menjawab: "Tiada siapa yang mengetahuinya?"
Satu lagi perbualan kedengaran mereka saling bertanya sama ada lebih dari satu pesawat telah terhempas kerana terdapat terlalu banyak serpihan dan sisa.
Beberapa orang di sekeliling mereka dengan pantas menjawab bahawa hanya satu pesawat terhempas. - AP