Seorang pramugara Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berdepan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang penumpang wanita dilaporkan telah dipecat.
Pemecatan terhadapnya, yang kini masih ditahan di Paris, dilakukan sebelum dia didakwa atau dibicarakan atas tuduhan berkenaan.Perkembangan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) yang menegaskan bahawa tindakan itu tidak mengikut lunas undang-undang dan membelakangkan keadilan, lapor TheMalaysianInsider.com.
Presidennya Nufam, Ismail Nasaruddin memberitahu, kru kabin yang telah berkhidmat dengan MAS selama 32 tahun itu menerima notis pemberhentian tugas melalui surat yang dihantar ke kediamannya dua minggu selepas insiden tersebut didedahkan.
"Hal ini sama sekali tidak dijangka kerana surat itu dihantar ketika dia masih lagi berada di pusat tahanan di luar negara. Bagaimana dia hendak memberi respons?” ujar Ismail.
MAS, menurutnya, telah memberi tempoh 60 hari kepada pramugara itu untuk merayu kes pemberhentian tugasnya atas alasan salah laku.
Kesatuan itu telah membawa perkara tersebut ke pengetahuan pihak Jabatan Perhubungan Industri dalam usaha memberi keadilan kepada pekerja berusia 57 tahun itu.
Ismail mendakwa, MAS seperti ‘cuci tangan’ dalam kes itu dan tidak menawarkan sebarang bantuan kepada keluarga pramugara tersebut.
MAS kini masih bergelut dengan publisiti buruk berkaitan kes nahas pesawat MH17 dan kehilangan MH370.
Sementara itu, peguam Ragunath Kesavan bagi pihak NUFAM turut mempersoalkan tempoh tahanan yang sangat panjang di Paris.
"Pekerja MAS itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Pihak MAS harus berusaha untuk membebaskannya dari pusat tahanan itu," ujarnya.
Peguam keluarga pramugara tersebut, Shailender Bhar, memberitahu bahawa pihak polis Perancis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat insiden berkenaan kerana ia tidak berlaku di negara tersebut, mahupun di ruang udaranya.
Tuduhan serangan seksual tersebut disensasikan oleh seorang penumpang Australia, Laura Bushney, ketika Malaysia dan dunia bersimpati akan nasib penumpang dan pekerja MAS serta keluarga mereka dalam dua tragedi yang menimpa syarikat penerbangan itu.
Dalam pada itu, Bushney dikritik ramai pihak di media sosial dan dikatakan sengaja mencari publisiti murahan dengan membuat fitnah untuk mendapatkan wang.