KOTA KINABALU 23 Nov. – Sesi ketiga Istiadat Konvokesyen ke-16 Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung petang ini bertukar hiba ketika seorang bapa, Mohd. Basran Indar, 52, menaiki pentas untuk mengambil skrol bagi mewakili anaknya, Mohd. Kamal, 23, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, September lalu.
Tidak dapat menahan rasa sedih, beliau yang berasal dari Batu Pahat, Johor, mengakui terbayang wajah anak bongsunya itu ketika berada di atas pentas sebelum disambut Pro Canselor UMS, Tan Sri Dr. Yeoh Tiong Lay.JOANNE JOSEPH MADIS (kanan) dan Jolene Joseph Madismemberi kucupan istimewa kepada ibu mereka, Martha Taliban sempena Istiadat Konvokesyen ke-16 UMS, di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. |
“Arwah (Mohd. Kamal) meninggal dunia 13 September lalu kerana motosikal yang ditunggangnya terbabas ketika perjalanan pulang ke rumah selepas menjalani latihan praktikal.
“Sepatutnya arwah menerima Ijazah Sarjana Muda (Psikologi dan Pendidikan) hari ini. Saya amat sedih kerana arwah tidak dapat bersama-sama. Syukur arwah berjaya menamatkan pengajian tetapi harapan untuk membantu keluarga tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Menurut Mohd. Basran, Allahyarham adalah satu-satunya harapan keluarga memandangkan mereka bukan daripada keluarga yang senang.
“Namun, kami reda dengan ketentuan Allah. Dalam sedih, saya tetap berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya. Terima kasih juga kepada UMS kerana bermurah hati menanggung perbelanjaan kami sekeluarga untuk datang ke sini.
“Saya juga terharu dengan pihak UMS kerana sudi menziarahi kami sekeluarga di Johor. Tak dapat rasa-nya kami nak membalas jasa UMS,” ujarnya yang ditemani isterinya, Fatimah Ahmad, 54, serta rakan baik anaknya, Hatinamalina Mastuki, 24.
Sementara itu, Fatimah memberitahu, anak lelakinya itu merupakan anak yang baik, taat kepada ibu bapa dan memiliki cita-cita tinggi termasuk membawanya sekeluarga mengerjakan haji.
“Banyak lagi cita-cita arwah termasuk mahu membuka perniagaan di kampung. Tapi itulah, ini takdir Allah,” jelasnya.
Dalam pada itu, istiadat konvokesyen tersebut turut diwarnai dengan kehadiran pasangan kembar seiras yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Awam).
Walau bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi Joanne Joseph Madis dan Jolene Joseph Madis, 23, bagaikan tidak lengkap kerana bapa mereka tiada bersama kerana meninggal dunia pada 2009.
Menariknya, kedua-dua mereka yang berasal dari Tambunan menaiki pentas dengan berpakaian lengkap tradisi suku kaum Kadazandusun.
“Kami cuma ditemani ibu, Martha Taliban, 64. Siapa yang tidak sedih apabila ayah sudah tiada. Tetapi, kejayaan ini kejayaan milik ayah dan ibu juga,” jelas kedua-dua mereka yang bercita-cita untuk bergelar seorang jurutera.