Tujuh kru bot tempur CB204 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kelaparan selepas hanyut di Laut China Selatan selama 32 jam berjaya diselamatkan Kapal Diraja (KD) Ganas berdekatan perairan Pulau Layang-Layang, Sabah, awal malam ini.
KD Ganas tiba di lokasi CB204 yang mengalami masalah enjin itu pada 6.49 petang tadi, namun hanya berjaya merapati bot tempur berkenaan pada 7.12 malam bagi menyerahkan makanan kepada kru yang kelaparan berikutan cuaca buruk dengan keadaan laut yang bergelora tahap empat.CB204 yang diketuai Leftenan Azri Bakar itu berjaya dihubungi kira-kira 3 petang hari ini selepas terputus hubungan 11.15 pagi semalam yang dikesan berada di kedudukan kira-kira 30 batu nautika dari Pulau Layang-layang.
Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, tujuh kru CB204 berada dalam keadaan selamat, namun mereka kelaparan berikutan kehabisan bekalan makanan.
“KD Ganas sedang merapatinya. Namun, keadaan laut yang bergelora 'state 4' (tahap empat) menyukarkan," katanya melalui akaun Twitter.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Abdul Aziz berkata, bot tempur itu terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah.
Menurutnya, ia belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi Ahad sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring berkenaan pada 11.15 pagi.
Posisi terakhir bot tempur berkenaan di kedudukan 20 batu nautika ke timur laut Pulau Mengalum.