Anak Ketua Pramugara MH370 Maira mimpi ayah pulang dalam keadaan kurus kering


MH370: Maira mimpi ayah pulang dalam keadaan kurus kering

Setengah tahun berlalu sejak kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan 239 penumpang di dalamnya.

Seramai 239 orang tersebut merupakan ayah, ibu, abang, kakak, suami, isteri, kawan dan kepada seseorang dan hanya menyebut nama mereka sahaja boleh membawa memori yang indah kepada mereka.

Walau bagaimanapun, enam bulan sejak kehilangan MH370, hanya air mata yang berlinangan dan kekecewaan yang dirasai oleh keluarga penumpang yang ingin mempercayai bahawa orang kesayangan mereka akan pulang satu hari nanti.

“Beberapa hari lepas, saya berdoa kepada Tuhan sekiranya ayah saya masih hidup, berilah petunjuk kepada saya melalui mimpi, dan tiga hari berturut-turut, saya bermimpi tentang ayah saya.”

Inilah kata-kata sayu yang disuarakan Maira Elizabeth Nari, anak kepada Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari, yang memberi gambaran bahawa walaupun sudah setengah tahun ayahnya tidak pulang, harapan bahawa ayahnya akan kembali tidak pernah pudar.



Menurut Maira, mimpi itu meningkatkan lagi harapannya bahawa ayahnya akan kembali dan ia adalah satu petunjuk baginya.

“Mimpi pertama adalah  satu `kolaj gambar’ di mana terdapat satu gambar hutan, satu gambar ayah saya sedang melihat saya dan satu gambar ayah saya sedang terbaring.

“Mimpi kedua adalah ayah saya pulang untuk meraikan satu parti barbeku di rumah makcik saya. Parti seperti ini memang satu kebiasaan dalam keluarga kami. Tetapi dalam mimpi ini, ayah saya mempunyai rambut panjang.

“Mimpi ketiga adalah sama seperti mimpi kedua, tetapi ayah saya nampak kurus kering dan tiada rambut,” jelas Maira.

Seperti Maira, ramai lagi keluarga mangsa tragedi MH370 masih mengharapkan kepulangan orang yang tersayang.

MH370,  dengan 239 penumpang yang kebanyakannya warganegara China, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Lebih 26 negara terlibat dalam usaha mencari pesawat Boeing 777 itu melalui udara, laut dan dasar laut. Namun selepas enam bulan, tiada sebarang petunjuk dapat dikesan.

Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan bahawa MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

Walaupun terdapat banyak teori konspirasi tentang kejadian itu antaranya rampasan dan sabotaj, baru-baru ini, pihak Biro Keselamatan Pengangkutan Australia merumuskan bahawa kemungkinan besar penumpang pesawat itu meninggal dunia akibat sesak nafas selepas pesawat itu terbang ke arah Lautan Hindi di selatan secara autopilot.

Walau apapun, Perdana Menteri Australia Tony Abbott yang melawat Malaysia pada Sabtu, berikrar akan menolong pihak Malaysia untuk merungkai misteri kehilangan MH370.


"Kami bertanggungjawab kepada keluarga mangsa, kami juga bertanggungjawab kepada negara yang bersedih atas kehilangan warganya, kami juga bertanggungjawab kepada orang ramai yang ingin tahu di seluruh dunia, untuk melakukan apa yang kami mampu, untuk merungkai misteri ini (kehilangan MH370).

"Kami tidak akan berhenti sehingga ia diselesaikan...Australia-Malaysia akan menjadi rakan kongsi terkuat dalam tugas penting ini," kata Abbott.

Usaha pencarian baharu pesawat itu telah ditingkatkan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Australia bulan lepas.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.