Pergerakan kenderaan dihentikan seminit untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17.

Pergerakan kenderaan dihentikan seminit di Plaza Tol Jambatan P Pinang

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Pergerakan kenderaan dihentikan seminit di Plaza Tol Jambatan P Pinang

GEORGETOWN: Pergerakan kenderaan dari tanah besar menghala ke pulau dihentikan selama seminit di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17.

Keadaan sama dapat dilihat di Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah apabila semua kenderaan berhenti di Plaza Tol Batu Maung.

Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Ishak Ahmad yang turut serta bertafakur di Jambatan Pulau Pinang berkata semua pemandu memberi kerjasama yang baik dengan memberhentikan kenderaan mereka untuk bertafakur.

"Walaupun berlaku kesesakan hampir tiga kilometer di laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari arah seberang ke pulau, tiada seorang pun pemandu membunyikan hon.

"Terima kasih kepada polis kerana membantu mengawal lalu lintas," katanya di sini, hari ini.

Di terminal feri di sini pula, ratusan penumpang Feri Pulau Rimau dan Pulau Undan di kedua-dua arah tanah besar dan George Town turut bertafakur selama seminit.

Pegawai Perhubungan Awam Penang Port Khairol Ikram Salamat berkata pengumuman memaklumkan waktu bertafakur dijalankan serentak dan siren turut dibunyikan di atas semua feri yang beroperasi hari ini, sebelum semua penumpang berdiri serta berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Penumpang yang menaiki feri bersama kenderaan turut dilihat keluar dan berdiri di sisi kenderaan mereka sebagai tanda solidariti memperingati nahas itu.

Terdahulu, di ruang legar tingkat bawah Komtar, bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan negeri dan persekutuan di sini, kira-kira 400 orang daripada pelbagai kaum berkumpul untuk bertafakur.

Antara yang hadir, anggota keluarga mangsa tragedi pesawat MH17; Ketua Menteri Lim Guan Eng dan sekumpulan anggota pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Budhist Tzu-Chi.

Suasana sedih dan hiba turut dirasai apabila anggota keluarga tiga mangsa nahas MH17 iaitu Tan Siew Poh, anaknya Loh Yan Hwa dan suami Loh, Fan Shun Po, menangis ketika doa dibacakan.

Setakat ini, hanya mayat Loh telah dikenal pasti manakala mayat ibu dan suaminya belum dikenal pasti. Bagaimanapun, tiga beranak ini tidak tersenarai dalam kumpulan pertama jenazah 20 mangsa tragedi yang dibawa pulang ke tanah air hari ini.

"Kerajaan negeri ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa pesawat MH17 itu," kata Lim berucap pada Majlis Perkabungan Negara peringkat Pulau Pinang.

Sementara itu, sebanyak 800 murid dan 80 guru Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Jalan Tengah di sini mengadakan perhimpunan khas di dewan terbuka bagi memperingati bekas murid sekolah itu, Nur Shazana Mohamed Salleh yang turut terkorban dalam nahas itu.

Pramugari pesawat MH17 berusia 31 tahun itu pernah belajar di sekolah berkenaan dari tahun 1989 hingga 1995.

- BERNAMA

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.