JAIPP tuntut jenazah mualaf, pengkebumian Buddha terhenti


Keluarga si mati yang dikenali sebagai Teoh Cheng Cheng, 38, terkejut kerana mereka tidak tahu si mati telah memeluk Islam 17 tahun lalu.MENJALANKAN TUGAS: Mayat Teoh Cheng Cheng@Nora Teoh Abdullah dituntut JAIPP tengahari tadi. - foto BERNAMA. JAIPP tuntut mayat mualaf, pengkebumian Buddha terhenti

GEORGE TOWN: Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) menghentikan satu majlis pengkebumian Buddha tengahari tadi dan menuntut mayat si mati diserahkan kepada pihak mereka kerana mendakwa si mati telah memeluk Islam.

Si mati yang dikenali sebagai Teoh Cheng Cheng, 38, didakwa memeluk agama Islam lebih kurang 17 tahun lalu. Nama Islamnya didaftarkan sebagai Nora Teoh Abdullah.


Tindakan pegawai JAIPP yang datang ketika upacara keagamaan sebelum pengkebumian sedang berlangsung itu memeranjatkan ahli keluarga dan sanak-saudara si mati. Mereka tidak tahu si mati sudah memeluk Islam.

Menurut laporan The Malaysian Insider, ibu si mati, Tan Ma Suan mempersoalkan kalau betul anaknya memeluk Islam, kenapa JAIPP mengambil masa yang agak lama untuk bertindak. Teoh dilaporkan meninggal dunia selepas jatuh dari sebuah apartmen pada Sabtu.

Pegawai-pegawai JAIPP itu tiba di Lebuh Macallum tempat upacara pengkebumian itu dijalankan kira-kira pukul 1.20 petang. Mereka tiba lebih kurang 20 minit selepas pihak polis sampai untuk memaklumkan kepada keluarga si mati supaya menghentikan majlis yang sedang berjalan.

Kedua-dua pihak kemudian berunding dengan waris si mati termasuk mengemukakan bukti dan rekod yang menunjukkan wanita itu beragama Islam.

Waris Teoh kemudian membenarkan pegawai JAIPP mengambil keranda si mati. Keranda itu dipindahkan ke dalam sebuah van kira-kira pada pukul 3.50 petang. Mayat si mati difahamkan dibawa ke bilik mayat Hospital Pulau Pinang buat sementara waktu sementara menunggu penyiasatan lanjut.

Waris keluarga memberitahu wartawan mereka akan memfailkan perkara ini di mahkamah.

Pengarah JAIPP, Datuk Sazali Hussein juga memaklumkan pihaknya akan mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk menguruskan mayat wanita itu mengikut agama Islam.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.