Sultan Nazrin hiba lawat makam almarhum ayahandanya selepas solat Jumaat bersama rakyat


Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak dapat mengawal air matanya ketika menziarahi makam bapanya, Almarhum Sultan Azlan Shah selepas solat Jumaat tadi.

KUALA KANGSAR - Sultan Perak yang baharu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Ubudiah di sini.

Baginda tiba pada jam 1 tengahari dengan diiringi Raja Kechil Sulong Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Puhat Mat Nayan.  


Sultan Nazrin yang memakai baju Melayu berwarna kuning turut bersama-sama mendengar khutbah yang disampaikan oleh Imam masjid berkenaan Ustaz Mohd Helmi Ibrahim.
 
Kira-kira 500 jemaah bersama-sama menunaikan solat Jumaat bersama baginda yang diimamkan oleh Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti.

Selesai menunaikan solat Jumaat, baginda meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah dan kemudian menziarahi makam Sultan Azlan Shah serta adinda baginda Raja Ashman Shah sambil membaca tahlil ringkas.

Baginda dan Raja Ahmad Nazim kemudian menyiram air mawar di kedua-dua makam.
 
Sultan Nazrin, diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam istiadat pengisyitharan pelantikan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, semalam.

Sultan Nazrin, 58, putera sulung Sultan Azlan Shah, menggantikan ayahanda baginda yang mangkat Rabu lepas. - Bernama

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.