SINGAPURA: Suami kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz iaitu Tan Sri Mohamed Basir Ahmad meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 3.51 pagi tadi.
Allahyarham yang merupakan bekas pengerusi Maybank meninggal dunia pada usia 75 tahun.Tokoh perbankan terkenal itu turut meninggalkan seorang anak lelaki Alfian, dua anak perempuan Rohaiza dan Rohaila serta lima cucu.
Bernama melaporkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan tengah hari ini.
Anak lelaki Allahyarham, Alfian berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu pada petang Jumaat.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob, (Tan Sri) Mohamed Basir meninggal dunia kerana serangan jantung dan suruhanjaya tinggi itu sedang membuat persiapan untuk membawa pulang jenazah Allahyarham ke Kuala Lumpur.
Ketika hayatnya, Allahyarham pernah menjadi pengerusi Maybank selama 16 tahun, bermula sebagai pengarah pada 5 Ogos 1993 selepas berkhidmat sebagai penasihat Bank Negara Malaysia sejak 1980.
Beliau dilantik sebagai pengerusi Maybank pada 9 Okt 1993.