KUALA LUMPUR 13 April - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei gagal merangkul gelaran keempat tahun ini selepas kalah mengejut kepada pemain bukan pilihan, Simon Santoso dari Indonesia pada perlawanan akhir Kejohanan Siri Super Terbuka Singapura 2014 di Stadium Tertutup Singapura,hari ini.
"Sudah lama tidak bertemu Chong Wei. Yang pasti, kemenangan ini membuatkan prestasi saya kembali stabil untuk menghadapi kejohanan akan datang," kata Simon selepas perlawanan itu.
Simon membawa pulang wang tunai AS$22,500 (RM72,792) manakala Chong Wei meraih AS$11,400 (RM36,881) selaku naib juara.
Chong Wei sudah meraih tiga gelaran musim ini iaitu Terbuka Malaysia pada Januari, All England (Mac) dan Terbuka India, awal bulan ini.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan itu yang menawarkan wang tunai keseluruhan AS$300,000 (RM966,932). - BERNAMA