Duta China ke Malaysia Setuju Perkataan berakhir oleh Perdana Menteri bertepatan dengan Tragedi MH370


Perkataan ‘berakhir’ oleh Najib tepat: Duta China

Kuala Lumpur: Duta China, Huang Huikang, berkata Perdana Menteri Najib Razak memilih perkataan yang tepat ketika mengumumkan kedudukan terakhir pesawat MH370 dalam taklimat minggu lalu.


Huang ketika menyampaikan taklimat dan sidang media kepada wakil media tempatan di Kedutaan China di Kuala Lumpur, semalam.

Bercakap kepada pemberita tengah hari semalam, Huang mempertahankan Najib kerana menggunakan perkataan ‘berakhir’.

Elak implikasi buruk 

Katanya, Najib terpaksa menggunakan perkataan itu untuk mengelak implikasi buruk memandangkan ahli keluarga penumpang warga China dalam penerbangan itu tetap berharap orang yang mereka sayangi masih hidup.

“Najib memilih perkataan ‘berakhir’ berbanding ‘terhempas’ atau ‘hilang’. Saya cukup memahami mengapa kerana tujuannya adalah untuk mengelak sebarang maksud yang memudaratkan. Anggota keluarga warga China masih berharap insan tersayang selamat, jika Najib memilih perkataan terhempas atau hilang, ia akan memberikan impak yang besar kepada anggota keluarga,” katanya.

Huang yang baru menyandang jawatan berkenaan menegaskan tumpuan kini adalah kepada usaha mencari dan China menyokong penuh kerajaan Malaysia.

“Saya fikir adalah lebih baik kita memberi tumpuan kepada usaha mencari daripada berdebat mengenai perkataan. Kita semua mahukan bukti kukuh seberapa segera yang mungkin. China menyokong penuh kerajaan Malaysia dan kami akan melakukan yang terbaik untuk menawarkan bantuan untuk mencari pesawat yang hilang,” kata Huang.

China tidak marah

Huang juga menjelaskan bahawa kerajaan China tidak pernah marah dengan Malaysia, sekali gus menafikan ia tidak berpuas hati dengan cara Malaysia mengendalikan siasatan.

“Kita berkawan baik selama bertahun-tahun dan sudah seperti saudara. Kami tidak pernah berkata bahawa kami marah dengan kerajaan Malaysia mahupun mengatakan bahawa kami tidak berpuas hati dengan mereka. Semua tuduhan itu tidak benar,” katanya..

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.