SEPANG - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau tidak menolak kemungkinan pesawat MH370 berpatah balik untuk kembali ke Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata sebab utama kemungkinan pesawat itu berpatah balik akan didedahkan jam 1 tengah hari ini selepas perbincangan lanjut dengan pelbagai agensi dalam dan luar negara selesai."Kita juga berterima kasih dan terharu dengan sambutan dari negara jiran yang bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan seperti Amerika Syarikat, Vietnam, Singapura, China dan Indonesia.
"Selepas bercakap dengan Menteri Pertahanan Singapura semalam, mereka juga bersetuju mengerahkan aset kapal pertahanan ke lokasi pesawat MH370 dilaporkan hilang," katanya pada sidang media.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengesahkan kewujudan kesan minyak di perairan Vietnam tetapi sebarang serpihan kapal terbang belum ditemui.
Beliau berkata, pesawat Vietnam sedang berada di kawasan perairan berkenaan untuk lakukan pengesahan.
Pesawat MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi, 8 Mac lalu hilang ketika dalam perjalanan menuju ke Beijing, China.