Padah Bahana produk murah: Wajah rosak, risiko kanser kulit.
Produk murah, rupa rosak
Asal mahu cantik, apa saja sanggup dilakukan. Lantas ada wanita yang sanggup mengambil risiko melakukan pembedahan plastik dengan pakar yang tidak bertauliah di salun atau pusat kecantikan.
Apabila pembedahan tidak menjadi, mereka juga yang bermasalah malah wajah atau bentuk tubuh rosak dan dalam sesetengah kes, tidak dapat diperbaiki keadaannya supaya kembali normal.Sehubungan itu, Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Datuk Dr A Jalil Jidon menasihati wanita mahupun lelaki supaya melakukan pembedahan plastik dengan pakar yang diiktiraf supaya kelak mereka tidak perlu menanggung risiko.
Pembedahan plastik terbahagi kepada dua jenis iaitu rekonstruktif dan kosmetik (kecantikan).
PEMBEDAHAN perlu dijalankan dengan pakar bertauliah.
Pembedahan rekonstruktif membabitkan bahagian badan atau anggota tertentu manakala pembedahan kosmetik pula lebih cenderung kepada pembedahan di bahagian wajah.“Pembedahan yang dinyatakan itu boleh dilakukan pakar yang mendapat latihan daripada badan berdaftar dan mendapat pengiktirafan.
“Jika mempunyai masalah terhadap pembedahan itu termasuk darah berterusan, pakar seharusnya mengetahui tindakan yang perlu diambil. Sekiranya mereka mendapatkan khidmat pembedahan di salun misalnya, risiko kesakitan dan kecederaan perlu ditanggung sendiri,” katanya.
Menurutnya, walaupun perkara ini amat membahayakan diri dan nyawa, ramai juga yang masih mendapatkan khidmat pembedahan daripada individu tidak diiktiraf.
Kebanyakan mereka terikut-ikut dengan rakan yang mengajak mereka melakukan kaedah itu di salun atau mendapatkan khidmat pihak luar. Di pusat kecantikan, ada juga pakar luar negara tetapi ada sebahagiannya tidak diiktiraf di negara ini.
Di Malaysia, pakar perubatan dari luar negara tidak boleh mempraktikkan kepakaran mereka sekiranya tidak mendapat kelulusan.
“Begitu juga dengan saya sendiri yang tidak boleh melakukan pembedahan ke atas orang lain jika berada di negara lain. Jika mahu berbuat demikian, saya perlu mendapatkan kelulusan.
“Setiap negara mempunyai undang-undang untuk melindungi hak orang ramai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Malangnya kini, banyak pula salun di negara ini yang menggunakan khidmat pakar luar negara untuk mengaut keuntungan.
Orang ramai yang terlalu obses dengan kecantikan pula mudah terpedaya dengan rawatan yang ditawarkan namun ramai tidak sedar, mereka perlu menanggung sendiri risikonya apabila pakar berkenaan kemungkinan sudah pulang ke negara asal mereka.
“Jika mereka meminta bantuan daripada kami untuk memperbaiki kerosakan, ia bukanlah mampu pulih sepenuhnya dan kemungkinan kami hanya boleh memperbaiki sebahagian saja.
“Kos rawatan juga menjadi lebih tinggi kerana kerosakan terbabit. Kami hanya boleh memperbaiki beberapa peratus saja dan ini tentunya akan merugikan mereka,” katanya.
Nasihatnya, pembedahan ini juga tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana seseorang itu perlu membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dulu sebelum pembedahan dijalankan.
“Pihak kami harus mengetahui tahap kesihatan mereka misalnya sama ada mereka mempunyai kencing manis, sakit jantung, darah tinggi atau seumpamanya. Pakar akan menstabilkan keadaan mereka sebelum melakukan pembedahan untuk mengelakkan komplikasi.
“Dos ubat yang digunakan ke atas mereka juga dalam jumlah yang lebih kecil,” katanya.
Pembedahan akan dilakukan dalam bilik bedah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terutama jangkitan kuman ke atas pesakit.
Jika dilakukan di bilik biasa tidak menepati prosedur, ia boleh mengakibatkan jangkitan kuman seterusnya kesan ke atas pembedahan.
Menurutnya, walaupun hanya mahu melakukan pembedahan kecil, pakar juga akan membuat pemeriksaan rapi.
Dari segi perbelanjaan, kos pembedahan membabitkan pakar luar sememangnya lebih mahal namun jika dilakukan di hospital atau klinik, kos pembedahan tidak terlalu mahal.
Barang murah
Pada masa sama, beliau turut mengakui ramai yang tertarik membeli produk dijual di pasaran dalam talian yang kebanyakannya tidak berdaftar.Penggunaannya dikatakan mempunyai kesan dalam tempoh beberapa hari tetapi berbahaya pada kulit kerana boleh memberi risiko penyakit kanser kulit.
Rawatan pakar akan menggunakan kolagen dan ubat tertentu yang didaftarkan untuk memulih dan mencantikkan kulit.
Produk yang dijual dengan harga mahal sudah mendapat pengesahan daripada KKM dan menjalankan kajian makmal dalam tempoh yang lama iaitu lebih kurang 10 tahun.
Walaupun agak mahal, ia tidak memberi sebarang kesan buruk ke atas wajah pengguna.
Kebiasaannya syarikat yang membawa masuk produk kecantikan ini juga perlu berdaftar kerana membabitkan kesihatan dan kecantikan orang awam.
“Saya berharap orang ramai semakin sedar dengan bahaya produk murah yang ada di pasaran dan tidak mengambil produk sedemikian sewenang-wenangnya.
“Ubat murah ini memberi banyak kesan kepada wajah dan kesihatan mereka sama ada dalam masa singkat atau panjang,” katanya.
Beliau turut mengakui, produk kecantikan murah mengandungi bahan peluntur sehingga 50 peratus sebaliknya produk berdaftar hanya memiliki bahan terbabit kurang daripada 10 peratus.
Menurutnya, mereka yang mahu membuat pembedahan kosmetik atau seumpamanya boleh melakukan pemeriksaan mengenai khidmat pakar menerusi laman web KKM kerana semua pakar bertauliah sudah berdaftar dengan badan terbabit.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date