KOTA BHARU- Hanya kerana sekeping gambar, namanya kini sebaris juru foto antarabangsa lain selepas dinobatkan sebagai pemenang ketiga Anugerah Fotografi Antarabangsa Hamdan (HIPA), Dubai baru-baru ini.
Muhamad Saleh Dollah, 40, tidak pernah menyangka percubaan pertamanya menghantar gambar untuk menyertai pertandingan itu tahun lalu berhasil apabila idea dan kreativiti yang diaplikasikan berjaya menyaingi peserta dari seluruh pelosok dunia.“Mungkin ini rezeki saya, tidak ada persiapan dilakukan, hanya hantar gambar sedia ada yang diambil dua tahun lalu, dengan ambil kira tema ditetapkan, iaitu ‘mencipta masa depan’. Malah, proses penghantaran gambar dibuat melalui laman web anugerah itu juga dilakukan saat akhir, kira-kira enam jam sebelum penyertaan ditutup,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Muhamad Saleh yang lebih dikenali sebagai Abe Less Classictouch Full berkata, beliau merupakan peserta pertama dari Malaysia yang menyertai anugerah itu sejak diperkenalkan pada 2011.
Mempertaruhkan gambar warga emas sedang mencari cucunya yang hilang di Pantai Mek Mas, PCB, dengan bertemankan pelita, Muhamad Saleh tidak menyangka ia mampu menarik perhatian juri sehingga melayakkan beliau menangi sebuah trofi dan wang tunai USD6,000 (RM20,000).
Pemilik kedai gambar Classictouch Studio ini berkata, bukan kamera yang menentukan kualiti atau menariknya sesuatu gambar sebaliknya objek di sebalik alat tersebut.
“Saya tidak gunakan kamera yang mahal kerana pada saya itu bukan syarat dalam mendapatkan foto terbaik,” katanya yang merancang menggunakan sebahagian wang hadiah untuk tujuan pengembaraan dalam mendapatkan gambar-gambar lebih
menarik.
Menurutnya, mendapat tunjuk ajar daripada abang ipar, Rosdi Ab Hamid yang juga pemilik kedai gambar terkemuka di negeri ini, Rosdi Foto, dan kakaknya, Hanisah Dollah banyak bantu mematangkan dirinya dalam dunia fotografi.
HIPA merupakan anugerah fotografi antarabangsa terkenal, yang dilancarkan pada tahun 2011 di bawah naungan Sheikh Hamdan Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, Putera Mahkota Dubai, dan terbuka kepada jurugambar tempatan dan antarabangsa, bertujuan mencerminkan komitmen Dubai ke arah pembangunan seni dan budaya di UAE.