Komando Utama TNI Angkatan Laut Indonesia
Indonesia Hantar Bantuan 5 Kapal Perang, Helikopter cari MH370
JAKARTA – Tentera Laut Nasional Indonesia (TNI-AL) menghantar lima kapal perang dan sebuah helikopter bagi membantu mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, awal pagi semalam.
Ketua Staf TNI-AL, Laksamana Marsetio berkata kesemua kapal perang yang dikerahkan itu akan bergabung dalam Komando Armada Indonesia Kawasan Barat Tentera Laut Indonesia.“Saya sudah berhubung dengan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. Mereka (TLDM) minta kita bantu mencari pesawat MAS yang dilaporkan tidak dapat dihubungi itu,” kata Marsetio kepada agensi berita Antara pada Ahad.
Armada-Kapal-Perang-TNI-AL
Beliau berkata ada antara kapal perang tentera laut negara itu yang sedang mengawal perairan sementara beberapa buah lagi diarahkan menyertai misi mencari itu.
“Kami kerahkan kekuatan agar misi pencarian ini dapat menunjukkan hasil. Kami juga sentiasa berhubung dan berkongsi informasi dengan rakan antarabangsa dalam misi ini,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk dua kanak-kanak dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing, China pada 12.41 pagi Sabtu.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. – Bernama
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.