CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya Paling Terkesan dalam Tragedi MH370


Tahukah Anda Bagaimana Keadaan Ahmad Jauhari?(CEO MAS)

TRAGEDI kehilangan pesawat MH370 pastinya dugaan paling besar buat Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

D Di dalam pesawat itu ada 12 anak buahnya, manakala 227 lagi adalah penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan nasional menuju ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Siapa pun tidak merancang jauh sekali mahu kejadian seperti ini berlaku, namun takdir mengatasi segala-galanya apabila Boeing 777-200ER itu disahkan terhempas di satu lokasi terpencil di tengah-tengah Lautan Hindi.

Sepanjang 16 hari sebelum ini termasuk pada sidang akhbar petang tadi, Ahmad Jauhari kelihatan tenang.

Dengan penampilan yang amat ringkas, beliau menjawab setiap soalan wartawan tanpa langsung ada unsur untuk menokok tambah jauh sekali mahu mempolitikkan suasana yang amat tegang itu.

Namun, malam ini, keadaan berubah. Beberapa minit sebelum sidang akhbar bermula, beliau dilihat melangkah longlai sambil menundukkan kepala masuk ke dewan dengan wajah yang amat sugul.

Jika kebiasaannya beliau turut berada di atas pentas, kali ini hanya pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Jauhari memilih untuk berada di bawah pentas. Sepanjang Najib membacakan kenyataannya, beliau tunduk. Di sebelahnya, Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof.

Sebaik kenyataan mengesahkan pesawat MH370 terhempas di tengah Lautan Hindi, Ahmad Jauhari kelihatan terlalu sedih. Beliau menangis apabila dipeluk oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Sesungguhnya tanggungan perasaan Ahmad Jauhari sangat berat. Tiada siapa mampu menyelami apa yang dirasainya bak kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Jika kaum keluarga penumpang MH370 kehilangan paling ramai dua ahli dalam tragedi yang menyayat hati itu, Ahmad Jauhari hilang 12 anak buah serentak. Beliau juga kehilangan 227 penumpang selain terpaksa berhadapan dengan suasana yang amat menekan perasaan.

Selami hatinya dan fahami tanggungan Ahmad Jauhari, nilai juga air matanya yang tumpah.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.