ANGGOTA bomba berusaha untuk mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit. |
Seorang pekerja kedai perkakasan logam maut selepas kepalanya tersepit pada lif pemunggahan barang di sebuah pusat komersial di Jalan Song, kira-kira 4 petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Benedick Guan Christopher, 19, mati di tempat kejadian dipercayai akibat patah leher.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.45 petang dan 12 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa dipercayai pengsan dalam lif itu, menyebabkan dia jatuh dan kepalanya tersangkut antara lif yang tidak berpintu dengan dinding.
LUBANG lif mangsa tersepit. |
"Lif itu tersekat di tingkat tiga dan ketika mengeluarkan mangsa, dipercayai lehernya sudah patah," katanya.
Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.
Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.