Polis akan memanggil remaja wanita yang mendakwa dirinya menjadi mangsa rompakan sehingga mengalami kecederaan di pusat beli belah Suria Sabah pada awal bulan lalu selepas membuat kenyataan terbuka tempoh hari.
Ketua Polis Kota Kinabalu berkata, pihaknya kini meminta kenyataan remaja wanita berkenaan selepas membuat laporan berhubung insiden itu pada 6 Januari lalu.
“Kita akan meneliti laporan polis yang dibuat remaja itu dengan kenyataan terbukanya tempoh hari.
“Polis menyiasat kes berkenaan dan selepas ia selesai, kita akan menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan lanjut,” katanya yang dihubungi kelmarin.
Berhubung laporan palsu yang didakwa dilakukan oleh remaja terbabit berhubung insiden rompakan di Suria Sabah, Jauteh mendedahkan perkara itu akan diputuskan oleh pihak pendakwa raya bagi sebarang tindakan.
Terdahulu remaja terbabit, 19, membuat kenyataan terbuka dan mengaku kecederaan itu dilakukan oleh dirinya serta tidak berlaku di Suria Sabah sepertimana didakwa sebelum ini.
Malah dalam kenyataan itu, remaja berkenaan turut melakukan permohonan maaf terhadap orang ramai selepas tindakannya mengundang kontroversi sepertimana tersebar meluas di laman-laman sosial.