GUO turut memasak untuk bapanya di asrama universiti. Gambar kanan, GUO terpaksa menjaga ibunya sejak masih kecil dan kini perlu menjaga bapanya yang lumpuh. |
Seorang pelajar China Guo Shijun merayu pihak berkuasa universiti agar membenarkan bapanya yang lumpuh tinggal di bilik asramanya sepanjang penggal pengajian.
Guo yang tidak mahu menangguhkan pengajiannya kerana terpaksa menjaga bapanya yang lumpuh dan ibu yang sakit terpaksa membuat permohonan pengecualian itu.
Disebabkan dia berjaya mendapat tempat di universiti terbaik dan pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi itu kagum dengan dedikasinya menghadapi kesukaran dalam hidup, mereka membenarkan dia membawa bapanya ke asrama universiti bagi meringankan beban ditanggungnya.
Guo, 20, yang berasal dari keluarga miskin menjalani zaman kanak-kanak dengan penuh kesukaran. Ibunya menghidap sakit mental selepas diserang meningitis ketika Guo masih kecil.
Dia dan bapanya terpaksa bergilir-gilir menjaga ibunya. Walaupun dibebani tanggungjawab besar ketika kecil.
Guo tetap berupaya memperoleh gred tertinggi di sekolah.
Nasib yang menimpa Guo bertambah buruk apabila bapanya yang bekerja sebagai buruh binaan terbabit dengan nahas ketika bekerja.
Bapanya terjatuh 15 meter dari sktruktur jambatan yang dibina di Liuan, wilayah Anhui menyebabkan lelaki itu lumpuh dari paras pinggang ke bawah.
Sejak kejadian itu, datuk dan nenek Guo mengambil alih tugas menjaga ibunya, tetapi tidak mampu untuk turut menjaga bapanya.
Kerana itu, Guo terpaksa menyewa sebuah bilik kecil berhampiran asrama universitinya dan membawa bapanya tinggal bersama-samanya bagi memudahkan dia menjaga bapanya.
Untuk membiayai pengajiannya di universiti, Guo meminjam wang daripada rakan dan saudara-maranya.