Menteri di Jabatan PM, DS Abdul Wahid Omar turun ke pasar Putrajaya meninjau harga barang

Walaupun berstatus menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar tidak kekok ke pasar untuk membeli barangan basah bersama isterinya.


Pemberita yang membuat liputan pemantauan harga barang oleh Pemuda UMNO Putrajaya di Pasar Awam Presint 8 di sini, turut bertembung beliau yang secara kebetulan berada di pasar itu hari ini.

"Saya orang biasa juga. Kita mesti dapatkan harga yang terbaik. Saya tinggal di Cyberjaya. Setiap minggu (beli barang) di Dengkil sebab ikan dan sayur lebih murah. Dekat sini (Pasar Awam Presint 8)...beli barangan kecil-kecil termasuk taugeh," katanya ketika ditemui di sini.


Abdul Wahid berkata, beliau sentiasa mengambil maklum mengenai harga barangan di pasaran dan sentiasa turun padang untuk melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku.

"Saya mengikuti perkembangan kos sara hidup, sebab masa saya di Maybank juga, kalau saya pergi ke Jakarta atau ke mana-mana, saya pergi ke pasar atau pasar raya nak tengok perbandingan harga untuk melihat pendapatan dengan kos sara hidup di Indonesia berbanding Malaysia," kata beliau yang juga bekas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Maybank.

Katanya, peranan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) perlu dipertingkat untuk memberi lebih kesedaran kepada pengguna, selain peranan dimainkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau berkata, pengguna juga perlu menjadi pengguna yang bijak serta berbelanja secara berhemah. 

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.