Golden Arches Sdn Bhd pengurus rangkaian restoran makanan segera McDonald’s mengunjurkan membuka lebih 30 cawangan di seluruh negara tahun ini dengan memperuntukkan modal perbelanjaan sebanyak RM200 juta.
Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia Stephen Chew berkata, langkah itu adalah selari dengan permintaan pasaran terhadap jenama terbabit.
Beliau berkata, fokus lokasi adalah di sekitar kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk serta lokasi baru yang mempunyai potensi untuk menyumbang kepada perolehan kumpulan. “Umum tahu bahawa sasaran kita adalah sebanyak 500 restoran menjelang 2020 dan ini adalah sebahagian perancangan bagi 2014.
“Kita berasa bangga apabila permintaan orang ramai terhadap produk McDonalds sentiasa ada,” katanya selepas melancarkan tanggungjawab korporat sosialnya (CSR) ‘Prosperity Gives Back (PGB)’ yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Januari ini. Dalam perkembangan sama Stephen berkata, pihaknya melihat potensi membuka restoran di stesen minyak di sepanjang lebuh raya antarabandar.
“Kita mempunyai minat dalam mengembangkan operasi restoran ke stesen minyak yang menghubungkan antara negeri. Ketika ini, kita hanya berada di dalam bandar seperti di Sungai Besi. Kita sudah membuat beberapa perbincangan dengan pihak tertentu,” katanya.
Sementara itu, PGB adalah acara hujung minggu yang mana setiap RM1 daripada jualan Burger Prosperity akan disalurkan kepada 70 rumah kebajikan terpilih di seluruh negara.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags