Harapan Michael Schumacher pulih semakin tipis

Keluarga Michael Schumacher mengucapkan terima kasih kepada peminat bekas juara Formula Satu (F1) itu kerana terus memberikan sokongan selain turut memaklumkan bahawa bekas juara dunia itu berkemungkinan mengalami kerosakan kekal pada otak.


Schumacher, 45, diletakkan dalam keadaan koma selama empat minggu dan kini dilaporkan yang otaknya mungkin tidak berfungsi selama-lamanya.

Bagaimanapun, isteri kepada bekas pelumba F1 tersebut, Corinna, 44, percaya Schumacher akan terus bertarung untuk pulih biarpun berhadapan kesukaran.

"Kita semua tahu bahawa dia adalah seorang pejuang dan tidak akan mudah menyerah kalah," kata Corinna.

Malah keluarga Schumacher turut memberitahu mesej tanda sokongan daripada peminat telah membuatkan mereka lebih kuat bagi mengharungi tempoh sukar ketika ini.

"Kami mendapat kekuatan daripada doa anda dari seluruh dunia buat Michael dan terima kasih kepada anda semua," menurut kenyataan keluarga Schumacher.


Schumacher ditimpa kemalangan pada 29 Disember lalu di sebuah pusat peranginan sewaktu bermain ski di Meribel, Perancis, di mana dia memiliki rumah peranginan di sana.

Sementara itu, kumpulan perubatan yang merawat Schumacher masih lagi merahsiakan perkembangan bekas pelumba F1 itu dan sekadar memberitahu semuanya stabil.


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.