Cuaca luar biasa Kuala Krai seolah-olah suasana pagi Cameron Highlands




Seolah-olah menikmati suasana pagi di Cameron Highlands, Pahang.


Itulah yang dirasakan penduduk di sekitar Kuala Krai di sini apabila suhu kira-kira 17 darjah Celsius direkodkan di daerah ini sejak Rabu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini mendapati, penduduk terpaksa memakai baju tebal bagi melakukan aktiviti seharian berikutan perubahan cuaca yang berlaku.

Seorang kakitangan awam, Che Ragayah Che Yaakob , 31, mendakwa, fenomena cuaca sejuk seolah-olah berada di Cameron Highlands tidak pernah berlaku di kawasan itu sebelum ini.

Katanya, suasana bertambah sejuk terutama pada waktu malam menyebabkan dia terpaksa mengunakan selimut tebal.

"Saya difahamkan keadaan ini akan berterusan beberapa hari lagi sehingga minggu depan dan fenomena ini turut melanda beberapa daerah lain di negeri ini," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi kakitangan awam, Norazita Ismail, 36, berkata, beliau terpaksa mandi menggunakan air panas pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja.

"Hendak sentuh air pada waktu pagi sekarang sangat sejuk, terasa seperti menyentuh ais lebih-lebih lagi ketika hendak berwuduk.

"Keadaan ini menyebabkan suasana berkabus walaupun pada pukul 11 pagi," katanya.

Sementara itu seorang pengusaha santan kelapa, Hasnah Mustafa, 50, pula berkata, akibat cuaca sejuk, santan yang dihasilkan menjadi beku walaupun tidak disimpan di dalam peti ais.

"Situasi yang berlaku ini merupakan kali pertama saya alami sejak mula mengusahakan perniagaan empat tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, laman web Jabatan Meteorologi mencatatkan suhu minimum di Kuala Krai hari ini adalah 19.1 darjah celsius iaitu masih yang terendah bagi kawasan tanah rendah dengan Cameron Highlands mencatatkan suhu minimum 12.3 darjah celsius.

Kelmarin, Jabatan Meteorologi menerusi satu kenyataan melaporkan secara relatifnya, bulan ini dan Februari merupakan tempoh suhu minimum yang agak rendah berbanding bulan-bulan lain.

Suhu udara yang sejuk daripada biasa yang dialami di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung pada minggu ini adalah disebabkan tiupan angin timur laut yang agak kencang, berpunca dari tanah besar China yang ketika ini sedang mengalami musim sejuk.

Selain itu, keadaan litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.