Penerima pingat tunggal PGB keturunan Bidayuh meninggal dunia

Penerima tunggal pingat PGB keturunan Bidayuh meninggal dunia Koperal (B) Paul Nyopis Noyeat.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB), Koperal (B) Paul Nyopis Noyeat, 71, yang menerima pingat itu atas keberaniannya memerangi pengganas komunis meninggal dunia di Hospital Bau kira-kira jam 9.40 pagi tadi akibat strok.

Mendiang adalah bekas anggota Rejimen Renjer Diraja yang terlantar akibat penyakit itu sejak tiga bulan lalu, merupakan penerima tunggal pingat PGB berketurunan Bidayuh.


Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid berkata pemergian Nyopis merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

"Saya rasa amat sedih dengan kehilangan ini, tambahan pula Nyopis berasal dari satu daerah (Daerah Bau) yang sama dengan saya. Selain itu keberanian Nyopis amat dikagumi sehingga dia dianugerahkan PGB, sekaligus merupakan penerima tunggal PGB berketurunan Bidayuh," katanya kepada Bernama.

Monday berkata mayat mendiang dijangka disemadikan di Kampung Rumih, Bau pada pukul 2 petang esok dan meminta masyarkat umum agar turut hadir beramai-ramai untuk memberi penghormatan terakhir.

Nyopis dianugerahi PGB oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun 1978.

Beliau dikenali kerana keberaniannya secara bersendirian melawan 15 pengganas komunis dari Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) di Jalan Sebuku-Tondong, Bau pada 19 April 1972.

Nyopis ketika itu ditugaskan untuk mengiringi sekumpulan anggota pasukan keselamatan yang bergerak dari Kuching ke Bau dengan kenderaan.

Semasa di kawasan Tondong, Bau, kumpulannya telah diserang hendap oleh sekumpulan musuh dan tanpa menghiraukan keselamatan dirinya, beliau melakukan serangan balas terhadap kedudukan musuh dan berjaya mengundurkan mereka.

Tiga orang musuh berjaya dibunuh dalam serangan itu.

Mendiang bersara setelah berkhidmat lebih 21 tahun.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.