Kronologi Kes Penderaan Kanak-kanak pada tahun 2013

Kes dera makin membimbangkan. LAPORAN Harian Metro.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Hampir 3,900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan pada 2013

Kes penderaan kanak-kanak yang sering kali dilaporkan cukup meruntun perasaan sekali gus menjadi isu masyarakat yang wajar ditangani segera.

Picture
Infografik BERNAMA

Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan serius terhadap hak golongan itu meneruskan kelangsungan hidup mereka. Secara umumnya, penderaan itu boleh dikategorikan kepada empat bahagian iaitu fizikal, emosi, seksual dan pengabaian. Ia dikaitkan dengan kesan jangka panjang dan jangka pendek yang merangkumi kerencatan otak, perkembangan terbantut, kesukaran belajar, masalah menjalin persahabatan, tabiat agresif dan kemurungan.

Mangsa penderaan kanak-kanak mungkin mengalami risiko lebih tinggi untuk bermasalah di kemudian hari seperti pencapaian akademik yang teruk, penggunaan dadah, kehamilan remaja dan perbuatan jenayah yang bukan sekadar menjejaskan kanak-kanak dan keluarga malah masyarakat keseluruhannya.

Statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan kes ini meningkat setiap tahun. Hampir 3,900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan pada 2013 malah lebih parah apabila ia bertambah sekurang-kurangnya 1,023 kes dilaporkan hingga Mac tahun ini.

Kes penderaan kanak-kanak perempuan terjadi lebih daripada 50 peratus berbanding semua kes penderaan kanak-kanak lain. Pengabaian adalah punca utama kes ini berlaku diikuti dengan penderaan fizikal dan seksual.

Pengalaman global menunjukkan hanya sebahagian kecil kes penderaan kanak-kanak dilaporkan dan disiasat manakala hanya segelintir pendera yang dibawa ke muka pe­ngadilan. Sebagai contoh, kanak-kanak dalam usia lingkungan empat dan lima tahun kurang berupaya melaporkan penderaan fizikal atau seksual.

Bukti anecdotal menunjukkan hanya kes penderaan kanak-kanak yang serius saja dilaporkan kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Kos bagi menanggung kes penderaan kanak-kanak juga agak tinggi dan merangkumi kos perubatan untuk kecederaan atau malnutrisi, penjagaan kesihatan mental untuk mangsa penderaan, urusan perundangan dan lain-lain lagi. Sehubungan itu, terdapat juga kos terselindung seperti kerosakan terhadap ekonomi negara akibat kehilangan produktiviti di dalam tenaga kerja serta kos kesakitan yang ditanggung oleh kanak-kanak dan keluarga.

Kanak-kanak adalah kesinambungan kehidupan kita. Mereka perlu dilindungi dan diberi hak sewajarnya. Manakala masyarakat juga boleh membantu mengekang kes penderaan daripada terus berleluasa. Hubungi talian bantuan 24 jam, Talian Nur 15999 untuk membuat aduan dan menangani kes ini dengan penuh tanggungjawab.

Penjenayah juga boleh dihukum mengikut Akta Kanak-kanak (2001) dan Kod Penal (dipinda 1997) serta dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan sehing­ga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Penulis siswa Pengajian Media Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

SOURCE: Harian Metro

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.