Sistem cukai GST tepat pada masanya

Sistem cukai baharu tepat pada masa

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April tahun depan tepat pada masa berikutan negara kini mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan.

Ketua Polisi, Akauntan Awam Bertauliah (CPA) Australia, Paul Drum, berkata pelaksanaan sistem percukaian baharu itu perlu dilaksanakan segera, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara yang kondusif.

Malaysia sedang menikmati ekonomi yang positif sekarang dan pelaksanaan itu pasti membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Berbanding negara lain di dunia secara purata mengenakan cukai antara 16 hingga 17 peratus (Singapura tujuh peratus), negara ini memulakan GST dengan kadar hanya enam peratus, katanya ketika ditemui di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam.

Cari hasil sumber baharu

GST bakal dilaksanakan kerajaan pada 1 April tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyusun semula sistem kewangan negara untuk mencari sumber hasil baharu dan memperkemas kaedah kutipan cukai.

GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang biasanya antara lima hingga 10 peratus bagi setiap jualan atau perkhidmatan tertentu, manakala maksimum 16 peratus bagi kedua-dua cukai ke atas barang dan perkhidmatan tertentu.


Mengambil Australia sebagai contoh, Drum berkata memang wujud kekeliruan orang ramai berhubung pelaksanaan cukai itu pada peringkat permulaan, namun berjaya dilaksanakan pada tahun 2000.

Memang Australia berdepan cabaran itu dan mengambil masa lama memperkenalkan GST di negara itu, sebelum mula dilaksanakan.

Perbincangan mengenainya (GST) dimulakan pada tahun 1985 dan hanya dilaksanakan 15 tahun selepas itu dan kini memasuki tahun ke-14, katanya.

Mengulas perkara sama, Drum meminta syarikat berkaitan, mendaftar bagi GST dan tidak menunggu saat akhir selain mendapatkan nasihat pakar berkaitan bagi mendapatkan lebih penjelasan.

Daftar sekarang sementara sistem masih baik dan tidak menunggu saat akhir kerana mungkin ketika itu sistem menjadi sesak berikutan ramai yang menggunakannya serentak.

Biarpun ada portal Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk mendaftarkan syarikat secara atas talian, dapatkan nasihat supaya lebih faham, katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.