ANGGOTA JPJ mengejar seorang pendatang asing tanpa izin yang cuba melarikan diri ketika operasi berkenaan. FOTO Asyraf Hamzah
Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Indonesia bertindak nekad meninggalkan isterinya untuk melarikan diri selepas ditahan pihak berkuasa ketika pemeriksaan Operasi Bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 30 tahun itu gagal apabila dia ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika dia berlari sejauh 200 meter dari lokasi.
Difahamkan, pada mulanya, lelaki berkenaan yang menaiki motosikal Honda Vario bersama isterinya yang juga warga Indonesia berusia 33 tahun.
Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Segambut, sebelum ditahan untuk pemeriksaan di laluan motosikal.
Ketika pemeriksaan, lelaki terbabit yang juga pekerja kontrak memaklumkan mahu membuat panggilan telefon. Namun, dia kemudian dilihat terus berlari ke tengah jalan dan meninggalkan isterinya di lokasi berkenaan untuk meloloskan diri.
Semakan dilakukan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai lesen memandu, malah, dia dan isterinya juga tidak mempunyai pasport yang didakwa ditinggalkan di rumah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, seramai 129 pegawai dan anggota membabitkan tujuh agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain JPJ terbabit dalam operasi berkenaan.
"Dalam operasi ini yang bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi, sebanyak 1,450 kenderaan diperiksa.
"Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 318 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada cermin sisi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail.
Aedy berkata, tiada kompaun bagi kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dikeluarkan dalam operasi itu.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.