'Rentas negeri tidak termasuk dalam kelonggaran SOP' - Hishammuddin

http://beritaup2date.blogspot.com/ Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap ketika sidang media selepas melawat proses vaksinasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.

Rentas negeri tiada dalam pengurangan SOP

KUALA LUMPUR: Kelonggaran untuk merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19, esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri diteliti Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


"Kelonggaran merentas negeri, semuanya bergantung kepada fasa dalam PPN negeri yang berkenaan, tetapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik serta Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19.

"Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 diadakan esok dengan agenda utama memfokuskan terhadap usaha mempermudahkan 181 prosedur operasi standard (SOP) kepada 10 SOP sahaja, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini," katanya.


Beliau memberitahu demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Vaksinasi COVID-19 'Back to School' peringkat Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Pada program itu, seramai 255 pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn menerima suntikan vaksinasi.

Manakala baki 675 pelajar sekolah berkenaan dijangka selesai menerima suntikan pada 24 September ini.

Keseluruhannya, sejumlah 5,887 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun di sekolah di dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima pelalian masing-masing.


Hishammuddin berkata, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 esok membabitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan beliau sendiri.

Katanya, dua menteri dijemput untuk berbincang dalam mesyuarat kedua esok iaitu Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Kementerian Pelancongan akan memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

"Manakala Kementerian Belia dan Sukan akan memberi taklimat mengenai potensi kelonggaran lain di dalam sektor sukan.

"Saya faham ramai yang keliru mengenai SOP yang terlalu banyak, jadi usaha meminimumkan jumlah SOP itu dapat membantu memudahkan pemahaman setiap orang," katanya


Hishammuddin berkata, perbincangan bersama Radzi pula akan dijalankan minggu depanmengenai pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar serta perkembangan terkini proses dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam pembukaan sekolah.

"Ini adalah kerjasama inklusif membabitkan semua pihak yang diberi tanggungjawab dan saya yakin usaha begini penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat supaya terus membantu menjayakan agenda penting kepada masa depan negara.

SOURCE: Berita Harian

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.