Bom jangka Virus membimbangkan (VOC) Delta

Mutasi itu ditemui melalui kajian oleh UKM Medical Molecular Biology Institute dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre. - Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Di sebalik kelonggaran dan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), pakar kesihatan awam memberi amaran mengenai kemunculan kes baharu varian Delta di beberapa negeri dalam tempoh dua minggu terakhir umpama bom jangka yang boleh meledak.


Oleh itu, mereka mengingatkan supaya orang ramai tidak leka dan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan sama sekali tidak mengambil mudah aspek kesihatan diri.

Ketua Pegawai Operasi Hospital Putra Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dengan keupayaan jangkitan varian berkenaan yang lebih cepat berbanding yang lain, ia berisiko berlaku di mana sahaja dan tidak ada kawasan yang dikategorikan 'selamat'.

Katanya, dalam keadaan penularan virus yang masih tidak menentu, ia akan bertukar menjadi lebih parah jika aspek pematuhan kesihatan awam diambil mudah oleh orang ramai.

"Varian Delta ini sangat cepat merebak dan apa yang berlaku di Sarawak, boleh juga berlaku di mana sahaja termasuk di Semenanjung Malaysia.

"Virus Covid-19 ini tidak kira baharu atau lama, kita boleh basmi dengan pematuhan SOP. Walaupun kerajaan umumkan kelonggaran ketika ini, pematuhan tetap sama seperti sebelum ini malah ia perlu sentiasa dipatuhi tanpa kompromi.

"Kalau kita gagal patuhi SOP dan normal baharu, maka kita bakal berdepan keadaan lebih buruk walaupun ramai daripada kita sudah lengkap divaksin," katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan SOP dipatuhi terutama di tempat tumpuan umum sebagai langkah terbaik mengawal penularan wabak.

Sekurang-kurangnya 59 kes baharu varian Delta di beberapa negeri dicatatkan dalam tempoh dua minggu terakhir ini.

Ia termasuk 21 jangkitan membabitkan kes penularan varian Delta dan Beta dikesan di Terengganu sejak hujung Julai lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes varian Delta manakala sembilan lagi membabitkan kes Beta.

Majlis Keselamatan Negara dalam hantaran di Telegram berkata, setakat 13 September lalu, 61 lagi kes Covid-19 dengan varian yang membimbangkan (VOC) dikenal pasti membabitkan 59 varian Delta dan dua kes varian Beta.

Harian Metro semalam melaporkan Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak Prof Dr David Perera mendedahkan, pada 31 Ogos lalu, sejumlah 303 VOC tambahan dikesan daripada 307 kes positif.

Menurutnya, semua VOC itu adalah varian Delta (B.1.617.2) dengan keseluruhan yang dikesan pada kadar 99 peratus dan ia mewakili peningkatan dari 82 peratus yang dilaporkan oleh IHCM pada 2 Ogos lalu.

Sementara itu, Pengarah Pentadbiran MediCOM Dr Mohd Shafiq Wahab berkata, sebaiknya semua aktiviti di kawasan umum perlu dihadkan buat masa ini.


"Walaupun kita memang menghadapi kelesuan pandemik, kita perlu tahu bahawa virus ini akan terus tersebar apatah lagi jika kita lalai.

"Trend jangkitan yang menurun bukan tiket kepada orang ramai untuk mengambil sikap sambil lewa mengenai penularan berkenaan," katanya.

Menurutnya, penduduk di Semenanjung Malaysia berisiko untuk 'diserang' varian Delta sekiranya cuai amalan pematuhan SOP dan leka dengan kelonggaran diberikan kerajaan ketika ini.

Dr Mohd Shafiq berkata, tidak mustahil keadaan yang berlaku di Sarawak ketika ini boleh meledak di Semenanjung Malaysia dan beliau memberi amaran situasi akan menjadi lebih buruk jika pematuhan SOP diambil mudah.

SOURCE: Hmetro

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram BeritaUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.