Petugas kesihatan di sebuah hospital sedang menguruskan mayat seorang pesakit Covid-19 di Peru. -AFP |
WASHINGTON – Ketika Amerika Syarikat bersuaha untuk mengekang penularan Covid-19 melibatkan varian Delta, muncul bukti baharu bahawa mutasi varian Lambda yang pertama kali dikesan di Peru tidak akan diperlahankan oleh vaksin, lapor akhbar New York Post semalam.
Dalam satu laporan oleh organisasi biologi bioRxiv, penyelidik di Jepun memberi amaran terhadap varian C.37 itu yang mudah berjangkit seperti varian Delta akibat mutasi.
Varian tersebut sudah merebak ke 26 buah negara termasuk wabak besar di Chile, Peru, Argentina dan Ecuador.
“Kadar vaksinasi di Chile adalah tinggi dan peratusan individu yang sudah diberi sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 adalah sekitar 60 peratus.
“Bagaimanapun, lonjakan jumlah kes yang besar berlaku di Chile pada musim bunga tahun ini yang menunjukkan varian Lambda mampu melepasi imuniti tubuh yang diperoleh daripada vaksin,” tulis penyelidik.
Menurut rekod penjejakan varian Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID), varian Lambda dianggap muncul di Amerika Selatan antara November dan Disember tahun lalu dan semenjak itu, ia telah dikesan di beberapa buah negara di Eropah, Amerika Utara dan beberapa kes terpencil di Asia.
“Selain meningkatkan kadar jangkitan, varian Lambda menunjukkan daya tahan yang lebih tinggi terhadap peneutralan yang disebabkan oleh vaksin,” kata penyelidik.
Lambda dilabel sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Di Chile di mana varian C.37 sedang berkembang, kempen vaksinasinya bergantung sepenuhnya kepada vaksin Sinovac yang menggunakan virus tidak aktif untuk menggalakkan pengeluaran antibodi Covid-19.
Kajian menunjukkan bahawa vaksin berkesan untuk mengurangkan kematian akibat Covid-19, manakala dos penggalak dianggap meningkatkan imuniti badan sekaligus mendorong Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) untuk mempertimbangkan pemberian dos ketiga kepada individu yang sistem imunitinya terganggu. -Agensi