SEKUMPULAN peserta berpakaian hitam berarak ketika protes Keluar dan #LAWAN di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, minggu lalu - UTUSAN /MUHAMAD IQBAL ROSLI |
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan, setakat ini, tiada laporan berkaitan kluster baharu didakwa tercetus susulan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 31 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya ada kes positif dalam kalangan peserta perhimpunan.
“Ada laporan yang telah kita terima daripada netizen mengatakan salah seorang yang pergi ke tapak demonstrasi telah dijangkiti.
“Tetapi, KKM tidak dapat sahkan berita tersebut dan tidak dapat pastikan kesahihan berita itu. Jadi, siasatan masih dijalankan dan setakat ini, tiada laporan berkait kluster demonstrasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya berhubung tular tangkap layar yang mendakwa, seorang peserta perhimpunan dijangkiti Covid-19 serta dikatakan membawa virus tersebut pulang ke rumah.
Pada 31 Julai lalu, media melaporkan, perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ itu disertai kumpulan berbaju hitam berarak ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Orang ramai turut mengecam perbuatan penganjur dan peserta perhimpunan tersebut kerana negara masih lagi berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.