Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir |
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, merupakan pilihan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri kesembilan.
Pada masa sama, kata Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, parti itu juga terbuka untuk memberikan sokongan kepada mana-mana calon yang memiliki majoriti mencukupi, kecuali daripada kalangan "kluster mahkamah".
Ini bermakna, katanya, Pejuang sedia bekerjasama dengan ahi parlimen Bersatu, PAS dan Umno-BN yang bukan terdiri daripada kalangan kluster dinyatakannya.
Pejuang, menurut Mukhriz, juga bersedia menerima Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika tiada pilihan lain.
"Sejak awal prinsip kami ialah menolak rasuah. Justeru kita akan ada masalah kalau majoriti yang kita sokong termasuk apa yang kita kenali sebagai kluster mahkamah," katanya dalam program disiarkan Astro Awani malam ini.
Ditanya jika Pejuang sedia menyokong Anwar, Mohd Shafie dan Ismail Sabri, ahli parlimen Jerlun itu berkata, mereka bersikap terbuka kepada ketiga-tiga mereka.
"Tetapi keutamaan kami ialah rakan-rakan dalam PH. Justeru tumpuan kami adalah dua nama yang terawal," katanya.
Pada masa sama Mukhriz juga menggesa ahli parlimen untuk tidak berpaling tadah apabila ada kerajaan baru dibentuk nanti dan keinginan mereka tidak dipenuhi.
Sebaliknya, kata Mukhriz, mereka perlu menghormati hasrat Yang di-Pertuan Agong serta mandat rakyat pada PRU ke-14 lalu.
“Ini akan membawa kepada satu lagi suasana politik yang tidak stabil serta mengganggu tumpuan kerajaan daripada tugas yang jauh lebih penting iaitu menguruskan krisis kesihatan.
"Kita tidak boleh memberikan jaminan mengenai hal ini, tapi jika kita menghormati pandangan Agong, kita mesti berkompromi, berkorban dan tidak terlalu keras dalam pendirian kita," katanya.