Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. |
PETALING JAYA: Pembukaan penuh ekonomi menjelang Oktober mungkin tidak boleh dilakukan sepenuhnya susulan angka kematian harian akibat Covid-19 kekal tinggi dengan 212 kes manakala 17,236 kes jangkitan baharu direkodkan semalam, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Lim berkata, hanya tinggal dua bulan lagi sebelum ekonomi dibuka semula, jika tidak sektor industri kecil dan sederhana (IKS) membabitkan hampir 1 juta perniagaan akan gulung tikar.
Beliau dalam kenyataan menggesa kerajaan untuk mengambil langkah berani termasuk mengecualikan faedah ke atas moratorium pinjaman bank secara automatik selama enam bulan untuk semua perniagaan dan peminjam individu kecuali dalam kategori pendapatan isi rumah “Top 10”.
Beliau berkata, kerajaan juga harus menyalurkan sejumlah RM30 bilion kepada perniagaan dalam bentuk geran dan insentif kewangan, selain gaji, sewa dan subsidi utiliti untuk menyelamatkan pekerjaan susulan penutupan perniagaan.
Katanya, DAP turut mengulangi gesaan supaya bantuan kebajikan dinaikkan kepada RM1,000 sebulan termasuk kepada penganggur bagi membantu keluarga meneruskan kelangsungan hidup.
Kerajaan juga perlu menyegerakan peruntukan sebanyak RM6 bilion untuk menyediakan 300,000 pekerjaan baharu dengan menawarkan insentif pengambilan pekerja kepada majikan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan dan insentif upah kepada pekerja berjumlah sekurang-kurangnya RM500 sebulan selama dua tahun.
Lim berkata, ia penting untuk menangani masalah pengangguran yang semakin buruk di negara ini seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan, iaitu kadar itu meningkat kepada 4.8% pada Jun berbanding 4.5% pada Mei.
Jabatan itu turut melaporkan nilai kerja pembinaan yang siap dalam tempoh suku kedua tahun ini menurun 10.2% kepada RM28.2 bilion berbanding RM31.4 bilion dalam suku pertama.
“Tidak hairanlah apabila penganalisis tempatan dan luar negara seperti Nikkei dan Bloomberg melihat model pembangunan pertumbuhan Malaysia berada di ambang keruntuhan dan akan menjadi negara gagal,” kata Lim.
Beliau mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya bertindak sekarang untuk membantu sektor perniagaan menyelamatkan pekerjaan, nyawa dan kehidupan, “walaupun telah kehilangan keabsahan sebagai Perdana Menteri”.
“Beliau (Muhyiddin) tidak boleh terus berpeluk tubuh sementara menunggu September,” katanya yang merujuk sidang Parlimen seterusnya apabila usul undi percaya terhadap Perdana Menteri akan dibentangkan.